Konsep Yang Sesuai Bagi Falsafah Pendidikan Dalam Masyarakat Islam

1. PENDAHULUAN

Pendidikan adalah satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan. Dalam menempuh alam teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana masyarakat pelajar adalah aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencoraki masa depan sesebuah negara pada zaman yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorakkan keunggulan masyarakat Islam sebagai agama sejagat.

Ramai tokoh telah berusaha untuk memberikan idea-idea dan konsep-konsep yang sesuai bagi golongan masyarakat global. Ini termasuk juga tokoh-tokoh Islam berusaha sama untuk mendalami pelbagai bidang keilmuan dan pendidikan semata-mata untuk kebaikan masyarakat dunia Islam. Hasilnya terdapat pelbagai konsep falsafah pendidikan bagi kepentingan suatu bangsa umat atau negara.

Satu persoalan yang ingin dikemukakan di sini, adakah apa yang kita rancangkan hari ini melalui pelbagai konsep pendidikan dapat melahirkan generasi rabbani pewaris anbiya’ dan ulama’ serta menjadikan masyarakat Islam yang berilmu? Ada bukti menunjukkan, masih timbul persoalan dan keraguan di sudut hati para penyelidik yang membuat kajian, pemerhatian, peka dan prihatin kepada perkembangan masyarakat Islam hari ini. Sebahagiannya masih mencetuskan, kenapa tahap pemikiran masyarakat Islam secara umumnya tidak maju?. Kenapa keterampilan, pemikiran, kewibawaan, daya intelek masyarakat Islam selalu dikatakan ketinggalan ke belakang jika dibandingkan dengan masyarakat di negara-negara barat umpamanya?. Mengapakah masyarakat ini meskipun disemai dengan benih-benih keimanan masih terjebak dengan gejala sosial?. Adakah sesuatu yang tidak kena dengan idea atau konsep falsafah pendidikan itu sendiri atau mungkin kekeliruan berlaku dari segi aplikasi?. Adakah mungkin kerana ini yang kita katakan kita memerlukan satu tajdid dan perubahan?

Justeru itu suatu yang amat wajar untuk kita meneliti kembali konsep falsafah pendidikan di peringkat awal. Jika generasi Islam yang mahu kita lahirkan adalah generasi serba boleh, berketerampilan, berwawasan , tinggi daya keintelektualan dan utuh imannya demi kepentingan masyarakat dunia Islam.

2. KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN

Banyak konsep-konsep telah diketengahkan oleh tokoh-tokoh pendidikan seluruh dunia. Mereka telah berusaha bersungguh-sungguh mengkaji dan membuat penyelidikan semata-mata untuk kebaikan. Konsep memberikan kita makna atau maksud pengertian am (pendapat yang terbentuk dalam fikiran) mengenai sesuatu, tanggapan, gagasan idea yang mendasari sesuatu. Falsafah menurut sejarah berasal dari perkataan bahasa Yunani iaitu philosophic. Philo bererti cinta atau kaji atau hargai dan sophic bererti hikmat atau kebajikan atau kebenaran. Jika digabungkan daripada kedua-dua perkataan philosophic disebut cinta kebenaran atau cinta hikmat.

Justeru itu perkataan falsafah dapat diertikan sebagai usaha mencari sesuatu kebenaran atau keyakinan yang berhubung dengan suatu perkara dengan menggunakan kekuatan akal fikiran. Dalam erti kata lain falsafah adalah mencari atau menganggap sesuatu dengan menggunakan kecerdasan akal fikiran dan kebijaksanaan.

Makna pendidikan dapat kita definisikan melalui pendapat daripada beberapa tokoh pendidik seperti pendapat John Dewey yang mendefinisikan pendidikan sebagai proses pertumbuhan dan perkembangan. Bagi James Mill mendefinisikan pendidikan adalah satu proses memberi pertolongan maksimum kepada setiap anggota satu-satu masyarakat supaya hidup penuh keselesaan serta kegembiraan. Manakala Prof. H. Home mendefinisikan pendidikan sebagai suatu proses abadi bagi menyesuaikan diri manusia yang bebas, insaf serta dewasa kejasmanian dan fikirannya dengan tuhan, sebagaimana yang ternyata dalam alam aqliah, perasaan dan kemahuan manusia.
Di samping tokoh barat terdapat juga golong Islam mendefinisikan makna pendidikan seperti Hassan Langgulung di mana dia berpendapat bahawa pendidikan sebagai satu bentuk interaksi manusia. Ia adalah suatu tindakan sosial yang dimungkinkan berlakunya melalui suatu jaringan hubungan kemanusiaan. Jaringan-jaringan ini bersama dengan hubungan dalam peranan individu di dalamnya yang membentuk watak pendidikan masyarakat. Dalam kitab Tazkirat as-Sami, Ibnu Jama’ah memandang pendidikan dari kaca mata falsafah. Menurut beliau, tujuan asas pendidikan ialah membina akhlak dan jiwa. Orang yang paling istimewa ialah orang yang berilmu dam mengamalkan ilmunya dengan betul, iaitu orang yang berpegang kepada prinsip bahawa mencari ilmu adalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Dari definisi-definisi di atas, dapatlah dirumuskan bahawa pendidikan merupakan suatu proses yang berterusan untuk membentuk manusia ke arah kehidupan bermakna di dunia dan akhirat. Oleh sebab antara fungsi pendidikan ialah penyampaian ilmu yang menyeluruh kepada manusia, maka ilmu yang diterima akan menentukan nilai dan keyakinan yang akan dianuti oleh seseorang sehingga membina keazamannya. Keazaman yang berdasarkan nilai-nilai pendidikan inilah yang akan menggerakkan seseorang untuk bertindak melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini selaku khalifah Allah di muka bumi.

Mengenai dengan pengertian falsafah pendidikan, Abd Fatah mentakrifkan sebagai suatu sistem kepercayaan, pegangan dan prinsip am yang mana membincangkan berbagai-bagai hal mengenai pendidikan dan pengajaran yang patut dijalankan disekolah. Di samping itu Al-Syaibani memberikan takrif falsafah pendidikan sebagai usaha bagi melaksanakan teori dan kaedah berhubung pengalaman manusia. Dan ia juga mampu menilai, menyelaras dan menganalisis masalah berhubung kehidupan.

Konsep Falsafah Pendidikan telah diketengahkan melalui pendapat tokoh-tokoh pendidikan di mana konsep falsafah pendidikan mempunyai fungsi-fungsi serta konsep seperti di bawah:-
1. Proses sosiolisasi:- pendidikan memberi murid peluang untuk berinteraksi antara satu sama lain supaya mereka menjadi dewasa yang berfungsi kelak.
2. Pembentukan budaya:- pendidikan mewujudkan serta memupuk nilai-nilai budaya.
3. Penempatan sosial:- pencapaian di sekolah dinilai berasaskan pencapaian akademik. Secara unggul, kejayaan akademik murid menjadi asas kepada kejayaan sosial pada masa depan. Secara umum, falsafah pendidikan adalah satu cara pemikiran yang analytical yang digunakan untuk menjelaskan konsep-konsep atau asas berhubung dengan pendidikan. Antara perkara-perkara yang menjadi tumpuan para pendidik termasuk seperti berikut:-
I. Apakah jenis-jenis pendidikan yang kita hasratkan untuk anak-anak kita?
II. Apakah tujuan pendidikan?
III. Apakah peranan pendidikan untuk kita dan masyarakat?
IV. Apakah yang wajar diajar di sekolah?
V. Apakah kaedah pengajaran yang sesuai?
VI. VI. Apakah peranan guru?
VII. Bagaimanakah kita boleh memahami anak murid kita dengan lebih berkesan?

Dari persoalan di atas dapatlah kita rumuskan konsep-konsep falsafah pendidikan yang sesuai untuk kita ketengahkan. Di mana bagi membentuk masyarakat Islam madani seharusnya falsafah itu selari dengan kehendak Islam. Dari itu jika diteliti falsafah pendidikan Islam adalah amat sesuai bagi masyarakat Islam keseluruhannya.

3. KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM SESUAI DALAM MASYARAKAT ISLAM

Sekalipun terdapat pelbagai falsafah pendidikan yang diketengahkan oleh tokoh-tokoh dahulu seperti tokoh falsafah umum mahupun tokoh-tokoh falsafah barat. Falsafah pendidikan Islam lebih bersifat holistik yang bermaksud bersifat saling berkait antara satu sama lain sebagai suatu sistem bersepadu yang menyeluruh, bukan sekadar menyentuh aspek-aspek tertentu sahaja tetapi ia merangkumi kesemua yang dikehendaki dalam sebuah matlamat pendidikan sama ada dari segi rohani jasmani dan intelektual.

Sehubungan itu, amat penting bagi kita menggubal satu falsafah dan epistemologi baru yang sesuai bagi generasi anak muda kita. Di samping itu, menjadikan pendidikan sebagai satu usaha untuk memupuk pemahaman bersifat global serta menyemai perasaan cintakan kemanusiaan dalam kalangan masyarakat Islam sejagat dan yang terpenting menjadikan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi sesuai dengan kehendak Islam.

Falsafah pendidikan Islam merupakan satu usaha untuk melahirkan individu yang soleh, warganegara yang beriman dan beramal soleh. Falsafah pendidikan Islam bertolak dari tasawur Islam secara menyeluruh, berpaksikan hakikat, ketuhanan, alam dan manusia. Di samping itu ia berdasarkan enam bidang pendidikan iaitu keimanan, akhlak, jasmani, pemikiran, kerohanian dan kemasyarakatan. Dari itu sebagai seorang pendidik Islam yang inginkan masyarakat Islam berjaya seharusnya menekan keenam-enam perkara tersebut dalam konsep falsafah pendidikan yang akan diketengahkan.

Di antara tokoh Islam yang mengetengahkan konsep-konsep falsafah pendidikan Islam ialah seperti Turki Rabib (1982), di mana ia menyatakan falsafah pendidikan Islam dibina berasaskan empat rukun, iaitu:-
a) Iman yang teguh kepada Allah dan Rasul, malaikat, syurga, neraka, dan hari kebangkitan.
b) Akhlak yang baik dan mulia.
c) Berilmu dalam erti menyeluruh.
d) Amal soleh di dunia dan di akhirat.

Jika kita huraikan dari pendapat Turki Rahib di atas, setiap pendidikan dalam Islam seharusnya mempunyai empat rukun di atas. Dengan diketengahkan keempat-empat rukun di dalam suatu sistem falsafah pendidikan akan dapat menghasilkan suatu pendidikan yang bersepadu. Kerana setiap sesuatu matlamat falsafah pendidikan adalah untuk menjadikan masyarakat yang berilmu, berakhlak, beramal dan berkebolehan serta berketerampilan. Ini adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud:- Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka Dengan sebab iman mereka Yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di Dalam syurga Yang penuh nikmat.  ( Al-Qur’an, Yunus 10:9)

Di samping Turki Rabib, Mohd. Kamal Hassan (1987) mengetengahkan Pendidikan Islam Juga menekan konsep-konsep berikut:-
a) Pendidikan seumur hidup.
b) Pembangunan seluruh potensi (roh, akal, dan jasad) secara padu mencakupi aspek kognitif, efektif, volitional (rela atau pasrah dengan hati yang ikhlas menerima segala atau memberikan sesuatu semata-mata kerana Allah)
c) Menyampaikan dua fungsi:
i) Sebagai hamba kepada Allah (‘ubudiyyah).
ii) Sebagai khalifah Allah.
d) Memakmurkan seluruh alam.
e) Kesepaduan dan kesempurnaan iman, ilmu dan amal soleh.
f) Kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Pendapat Mohd Kamal Hassan mengenai konsep-konsep Falsafah Pendidikan Islam lebih menyeluruh. Kerana ia menekan pelbagai aspek kehidupan serta pendekatannya yang menitikberatkan keseimbangan yang kukuh antara keperluan rohaniah, akal dan jasmaniah. Antara pembangunan duniawi dengan pembangunan ukhrawi, Falsafah Pendidikan Islam menganggap pembangunan akhlak individu yang selari dengan pandangan hidup Islam adalah teras pembangunan manusia.

Jika kita amati dengan teliti, bahawa pendapat tokoh falsafah pendidikan Islam ia mempunyai banyak persamaan dengan Falsafah Pendidikan Negara Brunei Darussalam. Yang mana Falsafah Negara “adalah usaha yang berterusan bersumberkan ilmu naqli dan ‘aqli ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang berilmu, beriman, beramal, berkepandaian, bertaqwa, amanah, bertanggungjawab serta berakhlak mulia. Segala usaha ini akan mewujudkan masyarakat berilmu dan berwawasan yang akan menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran keluarga, masyarakat, negara dan sejagat serta menimbulkan suatu identiti kebangsaan berdasarkan falsafah negara Melayu Islam Beraja menurut Ahli Sunnah Waljama‘ah sebagai tapak pertumbuhan dan pengukuhan ketaatan kepada agama, raja, dan Negara Brunei Darussalam”

Dalam Falsafah pendidikan Negara kita, ia mempunyai konsep-konsep yang amat sesuai bagi masyarakat Islam di negara kita. Bahkan ia juga sesuai jika di ambil dan diketengahkan ke dalam suatu masyarakat Islam di luar negara kita. Kerana Falsafah negara kita lebih menyeluruh dan berkesan untuk pembangunan ummah serta ketamadunan masyarakat Islam seluruhnya.

4. KONSEP-KONSEP YANG DIKETENGAHKAN DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

4.1. Pendidikan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Usaha Berterusan.

Sistem pendidikan adalah merupakan usaha berterusan dengan mengambil kira keperluan duniawi dan ukhrawi. Dengan lain perkataan, bukan duniawi semata-mata dan bukan juga ukhrawi semata-mata. Tetapi bagai mana caranya sistem pendidikan itu dilaksanakan. Serta meneruskan setiap usaha atau idea-idea yang dapat membangunkan sistem pendidikan Negara kita. Kerana pendidikan merupakan suatu yang berubah-berubah mengikut kesesuaian zaman dan masyarakat. Ini adalah untuk kebaikan masyarakat Islam di negara kita khususnya dan masyarakat Islam seluruh dunia amnya.

4.2. Bersumberkan Ilmu Naqli Dan ‘Aqli.

Dalam pendidikan Islam, dua sumber ilmu yang akan diperolehi oleh seseorang itu iaitu ilmu naqli dan ilmu ‘aqli. Ilmu naqli ialah ilmu yang datangnya dari al-Qur’an dan al-Hadits, manakala ilmu ‘aqli adalah semua pengetahuan yang dikaitkan dengan akal fikiran dan rasional. Walau bagaimanapun secara konsep umumnya semua ilmu adalah kepunyaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala baik naqli ataupun ‘aqli, kerana diri manusia itu sendiri adalah kepunyaan Allah, jadi segala apa jua yang dihasilkan menerusi akal fikirannya adalah juga kepunyaan Allah.

4.3. Ke Arah Memperkembangkan Potensi Individu Secara Menyeluruh.

Dengan memperolehi ilmu naqli dan ilmu ‘aqli atau ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardhu Kifâyah, maka akan mudahlah untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh, seimbang dan tidak pincang, sebaliknya mempunyai keperibadian yang luhur dipandang dari aspek rohani, akhlak dan moral, akal dan jasmani yang memahami dan meyakini bahawa manusia tidak boleh lari dari kehidupan duniawi dan ukhrawi. Sistem pendidikan kita Brunei Darussalam menyediakan tapak bagi kecemerlangan kehidupan duniawi dan ukhrawi itu.

4.4. Bagi Melahirkan Insan Yang Berilmu, Beriman, Beramal, Berkepandaian, Bertaqwa, Amanah, Bertanggungjawab Serta Berakhlak Mulia.

Matlamat dalam sistem pendidikan kita ialah bagi melahirkan insan dengan ciri-ciri yang disebutkan di atas iaitu:
a. Memiliki ilmu pengetahuan dalam agama Islam dan ilmu-ilmu pengetahuan .
b. Mempercayai akan rukun-rukun iman serta beramal dengannya.
c. Mengerjakan amal ibadat dan kebajikan untuk dirinya, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
d. Memiliki kepandaian atau kemahiran hasil daripada ilmu pengetahuan yang dipelajari.
e. Menjalani kehidupan dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sejati dengan mengerjakan segala suruhannya dan menjauhi segala larangannya.
f. Bersifat jujur, ikhlas, setia dan boleh dipercayai dalam segala peranan yang dilaksanakan.
g. Melaksanakan tugas dan peranan dengan sebaik-baiknya
h. Mempunyai keperibadian yang terpuji dan berbudi pekerti sebagai pelengkap peribadi

4.5. Masyarakat Berilmu Dan Berwawasan.

Masyarakat berilmu dan berwawasan adalah merupakan hasil daripada pendidikan yang berterusan dengan meningkatkan mutu pendidikan dari semasa ke semasa serta kesedaran yang
mendalam dan kecintaan kepada ilmu pengetahuan. Negara tidak akan maju tanpa ilmu. Islam adalah satu-satunya agama yang sangat menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Al-Qur’an sendiri mengangkat orang-orang atau masyarakat yang berilmu pengetahuan beberapa darjah perkara ini terdapat dalam firman Allah yang bermaksud:

11. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan. (Al-Quran, al-Mujaadilah 58:11)

4.6. Keamanan Dan Kemakmuran Keluarga, Masyarakat, Negara Dan Sejagat.

Dengan Insan yang berilmu, beriman, beramal, berkepandaian, bertaqwa, amanah dan bertanggungjawab serta berakhlak mulia pasti akan membentuk keluarga yang bahagia dan masyarakat harmoni dan akan mewujudkan keamanan dan kemakmuran keluarga, Masyarakat, negara dan sejagat. Di samping itu akan meningkatkan kestabilan negara dan ekonomi pula berkembang baik, hasilnya ini akan memberikan kehidupan yang sempurna di kalangan masyarakat Islam di negara kita ini.

4.7. Identiti Kebangsaan Berdasarkan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja Bersendikan Ajaran-Ajaran Agama Islam Menurut Ahli Sunnah Waljama‘ah.

Memiliki identiti kebangsaan bermaksud memiliki identiti kebruneian yang terkandung dalam falsafah negara Melayu Islam Beraja. sifat-sifat ini akan dilaksanakan bersendikan ajaran-ajaran Islam menurut ahli Sunah Waljamaah. kerana fahaman Ahli Sunnah Waljamaah yang menjadi teras di dalam falsafah pendidikan kita. Kerana dasar-dasar iktikad Ahli Sunnah Waljamaah bersifat sederhana yang diisi dari perjalanan dan amalan Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan perjalanan para sahabat baginda Radhiallahu ‘anhum lalu menjadi ikutan di dunia dari dahulu hingga sekarang. Dasar-dasar itu selaras dengan pertimbangan akal yang waras dan dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Hadits

4.8. Tapak Pertumbuhan Dan Pengukuhan Keta‘atan Pada Agama, Raja Dan Negara Brunei Darussalam.

Sebagai suatu proses yang berterusan, pendidikan diharapkan akan dapat mendidik semua warga Brunei daripada generasi muda hingga dewasa. Bagi warga muda, pendidikan adalah tapak kepada wujudnya ketaatan kepada agama, raja dan negara. Manakala bagi generasi dewasa, pendidikan dihasratkan akan mengukuhkan pula ketaatan dan kesetiaan berkenaan. Dengan lain perkataan, falsafah Melayu Islam Beraja yang mana Islam menjadi terasnya, menurut aliran Ahli Sunnah Waljamaah itu adalah menjadi asas yang kuat sebagai tapak pertubuhan dan menjana dengan subur dan kuatnya kehidupan beragama, berbangsa, beraja dan bernegara.

Bila kita renungkan dengan penuh penghayatan, Falsafah Pendidikan Negara Brunei Darussalam adalah suatu falsafah yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam di negara kita khususnya kerana ia mempunyai suatu unsur atau sistem kehidupan yang menyeluruh. Dalam Islam, pendidikan adalah sebahagian perkara penting dalam mengatur sistem kehidupan yang sempurna.

5. KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM AMAT BERSESUAIAN DENGAN KEHIDUPAN MASYARAKAT ISLAM.

Kesesuaian konsep Falsafah Pendidikan negara kita dalam masyarakat Islam adalah kerana berkonsepkan perkara berikut:
1. Penggunaan Al-Quran dan Hadis sebagai sumber utama.
2. Memerintah, mendorong, memandu serta membimbing masyarakat Islam khususnya dan masyarakat lain amnya menggunakan akal untuk berfikir, bertafakur, membuat penyelidikan, penelitian dan sebagainya.
3. Pembangunan seluruh potensi (roh, akal, dan jasad) secara padu mencakupi aspek kognitif, efektif, volitional (rela atau pasrah dengan hati yang ikhlas menerima segala atau memberikan sesuatu semata-mata kerana Allah)
4. Kesepaduan dalam melahirkan insan yang sempurna dalam segala aspek kehidupan.
5. Berkaitan dengan realiti masyarakat dalam hubungan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik seperti yang terdapat dalam Falsafah Melayu Islam Beraja.
6. Bersifat dinamik, berkembang, sesuai dengan perkembangan penyelidikan dan kajian-kajian dalam pendidikan melalui usaha yang berterusan.
7. Bebas daripada pertentangan dan percanggahan antara prinsip kehidupan dengan kepercayaan yang menjadi dasar pegangan masyarakat Islam.
8. Perkembangan yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan intelektual.

6. KESIMPULAN

Falsafah pendidikan digubal adalah untuk memberikan kesedaran bahawa masyarakat atau negara mesti mempunyai hala tuju dan matlamat. Sebab itu kesesuaian konsep-konsep dalam falsafah pendidikan seharusnya menekankan elemen-elemen yang menjurus kepada pembangunan masyarakat dan negara. Pelaksanaan satu-satu konsep hendaklah dimulakan dari akar umbinya kerana apabila ingin menjayakan sesuatu seharusnya bermula dari peringkat bawah. Tetapi timbul pula pertanyaan, kenapa sebuah konsep pendidikan yang begitu sempurna, tetapi tidak mampu melahirkan insan yang sempurna. Bagi saya apa yang menyebabkan ini berlaku adalah faktor pelaksanaannya. Kemungkinan ada pihak-pihak yang kurang mengambil perhatian dalam pelaksanaan satu-satu tujuan atau matlamat falsafah pendidikan tersebut. Kerana usaha ke arah itu memerlukan kesepaduan semua pihak yang terlibat. Apa pun jua falsafah pendidikan yang diketengahkan, jika dasar pelaksanaannya kurang diambil perhatian sewajarnya, maka tujuan yang ingin kita capai melalui falsafah pendidikan itu tidak akan kesampaian. Dari itu sama-samalah kita muhasabah diri kita dari semasa ke semasa untuk mencapai serta mengukuhkan cita-cita kita, masyarakat Islam dan negara kita.

7. CADANGAN

Untuk sentiasa meningkatkan pelbagai konsep falsafah pendidikan seharusnya ada perubahan-perubahan ke arah perkara itu. Di sini dikemukakan beberapa cadangan untuk kebaikan masyarakat Islam di negara kita khususnya dan masyarakat Islam amnya.
1. Keterlibatan keseluruhan masyarakat Islam dalam membangun ummah Islam yang madani.
2. Cetusan idea-idea atau pandangan yang menjurus ke arah kebaikan masyarakat Islam yang berhubung dengan pendidikan hendaklah diketengahkan dan dilaksanakan sekalipun cadangan itu daripada kelas orang bawahan.
3. Mempelbagaikan pendekatan-pendekatan ke arah memajukan sistem pendidikan demi melahirkan masyarakat Islam yang bersih dari segi rohani, jasmani dan intelektual .
4. Dilengkapi pendidikan negara dengan program-program pembangunan masyarakat.
5. Membangun pertubuhan dan institusi yang kuat dalam bidang keilmuan dan pendidikan bagi semua lapisan masyarakat Islam.
6. Memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti berbentuk pendidikan di semua peringkat dari peringat kanak-kanak membawa kepada peringkat dewasa dan orang tua.
7. Konsep falsafah Pendidikan seharusnya dinilai pada setiap waktu. Kerana konsep pendidikan tersebut sentiasa berubah mengikut keadaan dan zaman semasa.

8. BIBLIOGRAFI
- Al- Quran Al-Karim

Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman, 2003, Falsafah Pendidikan dan
Kurikulum, Tanjung Malim Perak, Malaysia, Quantum Books

- Abd.Rahman Aroff Zakaria Kasa, 1994, Falsafah Dan Konsep Pendidikan,
Kuala Lumpur, Fajar Bakti Sdn Bhd.

- Ahmad Mohd Salleh, 2008, Pengajian Agama Islam & J-QAF Metodologi dan
Pedagogi Pendidikan, Selangor Darul Ehsan, Oxford Fajar Sdn Bhd.

- Dr. Gamal Abduk Nasir Zakaria, 2003, Prinsip-Prinsip Pendidikan Islam,
Pahang Darul Makmur, PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd.

- Ee Ah Meng, 1995, Pendidikan Sebagai Suatu Proses Asas Pembelajaran 1,
Selangor Darul Ehsan, Fajar Bakti Sdn Bhd.

- ______________, 1989, Kamus Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa
& Pustaka, Kem. Pendidikan Malaysia.

- ______________, 2006, Pendidikan Dan Profesionalisme, Jabatan Perdana
Menteri, Negara Brunei Darussalam

- http://www.scribd.com/doc/16737591/Konsep-falsafah-pendidikan
(di layari pada 29hb Januari 2011 )

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s