Kemahiran Pemilihan Dan Aplikasi Alat Bantu Mengajar (ABM)

  1. 1.      PENDAHULUAN

Pengajaran memerlukan sesuatu untuk ia mudah disampaikan. Manakala pembelajaran pula memerlukan rangsangan untuk memudahkan pelajar menerima isi pelajaran. Rangsangan yang sukar ditanggapi tidak akan dapat diproses dan tidak akan menjadi pengalaman. Oleh yang demikian, kecerdasan walau bagaimana baik pun ia, jika kurang mendapat rangsangan, ianya tidak akan menghasilkan perkembangan kecerdasan dan pengalaman yang berkesan.

berdasarkan hakikat inilah, peranan guru dalam menentukan alat-alat bantu pengajaran dan pembelajaran sangat penting. Ini adalah kerana alat-alat itu merupakan media yang mampu mewujudkan rangsangan dan yang kemudiannya akan bertindak memperkembangkan kecerdasan dan pengalaman. Dari itu, guru-guru disarankan supaya dapat menyusun dan merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka dengan baik, terutamanya dari segi pemilihan, penyesuaian dan penggunaan bahan-bahan bantu pengajaran, kerana inilah di antara aspek yang memberi kesan terhadap prestasi para pelajar. Di samping itu alat bantu mengajar (ABM) juga dapat memainkan peranan ke arah peneguhan dan pemahaman pelajar.

  1. 2.      ALAT BANTU MENGAJAR (ABM).

Alat bantu mengajar (ABM) bukanlah sesuatu yang tersisih sifatnya daripada proses pengajaran dan pembelajaran, ia merupakan alat yang sangat berguna kepada guru semasa mengajar. Pembelajaran dengan menggunakan alat bantu mengajar (ABM) dapat memastikan pelajar mengikuti serta  dapat memberikan pelajar kefahaman yang berkesan dan juga dapat menarik minat mereka terhadap mata pelajaran yang diajarkan.

Secara dasarnya, alat bantu mengajar (ABM) adalah alat yang dapat membantu seseorang guru dalam proses pengajaran. Alatan mengajar ini tidak terhad kepada buku teks, papan tulis dan gambar-gambar sahaja tetapi juga merangkumi segala benda yang digunakan dalam pelajaran yang dapat dilihat, didengar, dipegang, dibaca, dikisahkan, dirasai, dihidu, digunakan dan sebagainya. Alat mengajar merupakan apa-apa saja yang dialami oleh murid (kamaruddin hj. Hussin, 1986)[1]

Atan long (1981) membahagikan alat bantu mengajar (ABM) kepada tiga kumpulan, iaitu:-

  1. Alat pendengaran,
  2. Alat pandangan
  3. Alat pandang dengar.

Noraziah abdul hamid (1981) menggolongkan alat  itu kepada dua kumpulan, iaitu:-

  1. Media elektronik
  2. Media bukan elektronik,

Hanapiah sudin (1979) menggolongkan kepada dua, iaitu:

  1. Bahan- bahan software
  2. Bahan-bahan hardware.

Menurut Atan long (1982) lagi alat bantu mengajar (ABM) terdiri daripada berbagai-bagai bahan. Sesuatu bahan dapat disampaikan dengan berbagai-bagat cara. Umpamanya, sesuatu bahan itu mungkin diterbitkan dalam bentuk buku, dalam bentuk carta atau diletak pada slaid dan dipancarkan ke layar. Alat-alat penyampaiannya dinamakan” alat bantu mengajar (ABM) berdasarkan pendapat di atas, dapatlah dibahagikan alat bantu mengajar (ABM) ini kepada tiga peringkat, iaitu (kamaruddin hj. Hussin,1987):

  1. Bahan-bahan yang menggunakan media elektronik seperti filem pelajaran, filem jalur- slaid, projektor (overhead), pita video, radio, pita rakaman, piring hitam dan lain-lain
  2. Bahan-bahan yang tidak menggunakan media elektronik seperti suara, buku, gambar carta model, surat khabar, papan tulis, kad imbasan dan lain-lain.
  3. Bahan-bahan yang bercorak pengalaman seperti lakonan, pantomim, lawatan, projek pameran dan bahan-bahan dari alam sekitar.[2]
  1. 3.      KEPENTINGAN SERTA TUJUAN ALAT BANTU MENGAJAR (ABM).

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan alat bantu mengajar (ABM) amat penting bagi guru untuk memastikan proses pengajarannya dapat berjalan dengan lancar kerana isi pengajaran yang disampaikan dapat diikuti dengan baik oleh murid dengan bantuan alat bantu mengajar (ABM). Oleh itu, antara kepentingan alat bantu mengajar (ABM) dapat disenaraikan seperti berikut:

  1. Penggunaan alat bantu mengajar (ABM) dapat mengawal serta mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar kekurangan masa.
  2. Dapat mempertingkatkan minat murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran
  3. Dapat mempertingkatkan keghairahan untuk belajar.
  4. Dapat memahami secara lebih mendalam dan realistik tentang tajuk yang diajar.
  5. Dapat mengekalkan ingatan yang lebih lama terhadap isi-isi pengajaran.
  6. Dapat berasakan keseronokan belajar dan mengelakkan rasa jemu terhadap pengajaran guru.
  7. Alat bantu mengajar (ABM) menyediakan satu dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran, oleh itu ia mengurangkan berbagai-bagai gerak balas lisan daripada murid
  8. Alat bantu mengajar (ABM) membekalkan satu dasar untuk perkembangan pembelajaran murid dan menjadikan pembelajaran mereka lebih kekal.
  9. Alat bantu mengajar (ABM) menolong menjadikan pembelajaran murid-murid lebih mendalam tentang kefahaman isi pengajaran.
  10. Alat bantu mengajar (ABM) menawarkan pengalaman yang sebenar dan menjadikan pengajaran lebih menarik
  11. Pembelajaran yang diperoleh akan lebih bermakna.[3]
  12. Bahan itu dapat melahirkan dorongan daya kreativiti, baik kepada guru mahupun pelajar.
  13. Melahirkan satu interaksi dan kerjasama antara pelajar dengan guru dan pelajar dengan pelajar.
  14. Dapat menjimatkan masa dan pelajar akan belajar lebih banyak dalam masa yang singkat.
  1. 4.      KEMAHIRAN PEMILIHAN DAN APLIKASI ALAT BANTU MENGAJAR (ABM).

Kemahiran adalah kecekapan atau kepandaian seseorang untuk membuat sesuatu.  Tanpa kemahiran agak sukar bagi seseorang itu mengendalikan sesuatu.  Begitu juga dalam bidang perguruan, kemahiran amat diperlukan. Seperti kemahiran dalam memilih serta mengaplikasikan alat bantu mengajar (ABM) yang telah dipilih.

Dalam memilih alat bantu mengajar (ABM), guru seharusnya berkemahiran dalam menilai dan menimbang akan keperluan atau sumbangan alat bantu dalam pengaplikasiannya  dalam pengajaran dan pembelajaran. Pertimbangan seharusnya menekankan semua aspek atau kriteria-kriteria dalam pengajaran dan pembelajaran. Kriteria-kriteria dalam memilih alat bantu mengajar (ABM) itu, di antaranya:-

  1. Alat bantu mengajar (ABM) haruslah bersesuaian dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Isi kandungannya haruslah tepat dan berkait rapat dengan topik yang hendak diajarkan.
  2. Alat bantu mengajar (ABM) harus mengandungi idea-idea dan reka bentuk yang asli dan tersendiri.
  3. Alat bantu mengajar (ABM) boleh membantu guru dalam aktiviti pengajaran atau boleh juga digunakan oleh murid-murid dalam aktiviti pembelajaran mereka. Dengan perkataan lain guru boleh menyampaikan konsep dengan lebih mudah, tepat dan cepat lagi dengan adanya alat bantu mengajar (ABM). Murid-murid pula dapat mempelajari konsep itu dengan tepat, penuh minat dan lebih kekal dalam ingatan.
  4. Reka bentuk alat bantu mengajar (ABM) hendaklah menarik dan berkesan untuk menarik perhatian dan menimbulkan minat murid-murid, alat ini harus disediakan dengan menggunakan gambar yang berwarna.
  5. Alat bantu mengajar (ABM) harus disediakan dengan perbelanjaan yang rendah dan dalam masa yang berpatutan. Tiada gunanya membuat Alat bantu mengajar (ABM) dengan perbelanjaan yang terlalu tinggi dan menggunakan masa yang lama untuk menyediakannya.
  6. Alat bantu mengajar (ABM) harus disediakan dalam saiz dan berat yang sesuai supaya ia mudah dibawa, diguna dan disimpan. Alat bantu mengajar (ABM) yang terlalu berat dan besar akan mengganggu kelancaran penyampaian guru atau penggunaan murid.
  7. Sumber pengajaran-pembelajaran haruslah mengandungi nilai-nilai murni yang tinggi. Guru tidak harus menggunakan bahan-bahan seperti gambar yang tidak sopan, misalnya memakai baju yang menjolok mata atau menggunakan bahan-bahan yang mengandungi unsur negatif seperti berjudi dan merokok.[4]

 

  1. 5.      PENGAPLIKASIAN ALAT BANTU MENGAJAR (ABM).

Setelah dibuat pemilihan terhadap jenis alat bantu mengajar (ABM). Guru juga harus mahir dan faham dalam penggunaan alat bantu mengajar (ABM) tersebut. Untuk keberkesanan aplikasi alat bantu mengajar (ABM) terlebih dahulu guru menekan perkara berikut:-

  1. Tentukan sumbangan yang dapat diberikan oleh alat bantu mengajar (ABM) itu kepada pengajaran tertentu berhubung dengan objektif pengajaran yang hendak diajar. Elakkan daripada menyedia alat bantu mengajar (ABM) yang tidak sesuai digunakan atau tidak dapat digunakan dengan berkesan.
  2. Rancangkan bagaimana alat bantu mengajar (ABM) itu dapat digabungkan penggunaannya dalam pengajaran untuk menambah pengalaman pembelajaran murid-murid.
  3. Aturkan supaya alat-alat bantu mengajar (ABM) itu dapat digunakan oleh murid dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kelam kabut atau mengganggu pengajaran.
  4. Kaji maklumat daripada berbagai-bagat punca tentang cara penggunaan sesuatu alat bantu mengajar (ABM) untuk mendapat kesan yang memuaskan.
  5. Nilaikan sumbangan alat bantu mengajar (ABM) kepada pengajaran melalui percubaan. Ubahsuaikan cara penggunaannya berdasarkan penilaian ini.[5]
  1. 6.      CARA-CARA APLIKASI ALAT BANTU MENGAJAR (ABM)

Dalam zaman yang serba moden dan canggih sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat yang semakin berkembang pesat dari semasa ke semasa. Penggunaan alat bantu mengajar (ABM) juga berkembang dari menggunakan papan tulis bertukar kepada yang lebih canggih iaitu penggunaan komputer, bahan elektronik dan sebagainya.

Di antara jenis alat bantu mengajar (ABM) yang boleh digunakan adalah seperti Kad Manila, Carta, Model, Projektor, Multimedia dan sebagainya. Alat dengar seperti radio, pita rakaman adalah sesuai untuk pembelajaran yang berkehendakkan penguasaan kemahiran yang tertentu seperti bacaan Al-Quran. Filem dan Televisyen sesuai digunakan untuk sesuatu pemerhatian aspek-aspek khusus atau untuk tujuan memperlihatkan tunjuk cara yang berhubung dengan penguasaan sesuatu aspek yang tertentu[6] seperti pergerakan amali dalam sembahyang.

Secara amnya, cara untuk menggunakan bahan bantu mengajar hendaklah diuruskan dengan betul dan cekap supaya pelajar dapat memahami dan mengekalkan konsep atau fakta dalam ingatan mereka. Selain sebagai bahan tambahan kepada penyampaian pengajaran secara lisan oleh guru, penggunaan bahan bantu mengajar sebenarnya turut memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengetahuan melalui penggunaan pelbagai deria, iaitu deria penglihatan, deria sentuh, dan deria pendengaran

Tujuan utama menggunakan alat bantu mengajar (ABM) dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membantu guru menyampaikan pengajarannya dengan mudah, tepat, cepat serta menarik. Untuk mencapai tujuan ini, guru haruslah memahami teknik penggunaan alat bantu mengajar (ABM) dan menggunakannya dengan cekap. Berikut ialah beberapa garis panduan menggunakan alat bantu mengajar (ABM) untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran:

  1. Alat bantu mengajar (ABM) seperti carta haruslah digantung di suatu tempat yang sesuai supaya semua murid boleh melihatnya dengan mudah. Semasa menggunakannya, guru haruslah membimbing murid-murid meneliti perkara yang penting supaya tidak membazirkan masa murid-murid serta boleh mencapai hasil pembelajaran yang dikehendaki. Jika carta itu mengandungi beberapa bahagian, guru boleh menutupnya terlebih dahulu, kemudian menunjukkan kepada murid-murid bahagian demi bahagian mengikut urutan penerangan guru. Cara ini boleh menarik minat murid serta membangkitkan daya pemikiran mereka.
  1. Sebelum alat bantu mengajar (ABM) diedarkan kepada murid-murid untuk menjalankan kerja praktik, guru harus memberi arahan yang tegas dan jelas supaya aktiviti pembelajaran itu dapat dijalankan dengan tepat, berdisiplin dan mengikut masa yang ditetapkan.
  1. Tunjukkan alat bantu mengajar (ABM) kepada murid-murid hanya pada ketika yang perlu. Jika sesuatu Alat bantu mengajar (ABM) ditunjukkan lebih awal, murid-murid akan asyik tumpukan perhatian mereka kepada alat itu dan kurang memberi perhatian kepada aktiviti pengajaran guru.
  1. Guru harus membimbing murid-murid membincang fakta-fakta penting yang terkandung dalam alat bantu mengajar (ABM). Selepas itu, harus diadakan pula aktiviti penilaian terhadap tindak balas murid-murid berdasarkan hasil penggunaan alat bantu mengajar (ABM) itu dengan tujuan untuk mengetahui pencapaian objektif pembelajaran.
  1. Alat bantu mengajar (ABM) yang telah selesai digunakan haruslah dikumpul balik dan disimpan dengan baik di tempat yang sesuai.
  1. Alat bantu mengajar (ABM) hanya digunakan untuk membantu guru dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan ia tidak boleh menggantikan tempat guru. Penggunaan Alat bantu mengajar (ABM) haruslah sesuai dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya mencapai objektif pelajaran yang ditentukan.

Pada amnya, cara menggunakan alat bantu mengajar (ABM) hendaklah diuruskan dengan betul dan cekap, supaya murid-murid dapat memahami dan mengekalkan konsep atau fakta dalam ingatan mereka. Nilai sesuatu alat bantu mengajar (ABM) yang baik akan dihapuskan sekiranya alat itu tidak disediakan mengikut kriteria-kriteria yang telah dihuraikan atau penggunaannya kurang cekap ataupun kurang berkesan[7]

  1. 7.      KESAN DARI PENGGUNAAN ALAT BANTU MENGAJAR (ABM).

Jika guru dapat menguasai kemahiran memilih dan aplikasi alat bantu mengajar (ABM) dengan berkesan, beberapa kesan yang baik dapat diperlihatkan, seperti :

  1. Pelajar akan dapat memahami sesuatu konsep, fakta atau idea dengan lebih jelas.
  2. Pelajar dapat menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
  3. Pelajar akan dapat terus mengikuti setiap perkembangan proses pengajaran yang dijalankan.
  4. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dipelbagaikan.
  5. Pelajar menaruhkan keyakinan terhadap pengajaran guru.
  6. Aktiviti pembelajaran akan lebih menarik.
  7. Konsep, fakta dan idea yang diterima akan lebih kekal dalam ingatan.[8]
  1. 8.      KELEMAHAN YANG TERDAPAT PADA ALAT BANTU MENGAJAR (ABM) DAN CARA MENGATASINYA.

Jika kita perhatikan, alat bantu mengajar (ABM) sememangnya tidak mempunyai kelemahan secara langsung, kerana tujuan utama alat bantu mengajar (ABM) adalah untuk menutup sebahagian  kelemahan yang terdapat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tetapi kelemahan itu dapat dilihat melalui perkara berikut:-

  1. Kurangnya kemahiran guru dalam memilih jenis alat bantu mengajar (ABM) yang sesuai.
  2. Kurangnya kemahiran guru dalam pengaplikasian alat bantu mengajar (ABM).
  3. Kesukaran dalam penyediaan alat bantu mengajar (ABM). Seperti kurangnya alat pelaksanaannya, bahan atau rujukan dalam menyediakan, keperluan masa yang mempengaruhi guru dalam menyediakan alat bantu mengajar ABM.
  4. Faktor pelaksanaannya yang kadang mendatangkan masalah.

Untuk mengatasi segala kelemahan adalah seperti di bawah ini:

  1. guru seharusnya lebih prihatin dan memahami kehendak pelajar yang diajarkan.
  2. guru harus muhasabah dan meningkatkan segala kemahiran dalam proses pengajarannya terutama dalam menggunakan segala alat bantu mengajar ABM, seperti kemahiran menggunakan Teknologi maklumat, Multimedia dan sebagainya.
  3. kerjasama semua pihak dalam merancang dan menyusun proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu guru dalam penyediaan alat bantu mengajar (ABM).
  4. Merancang dengan sistematik.

Perkara yang harus diambil perhatian adalah alat bantu mengajar adalah alat sokongan bukan sebagai pengganti guru sepenuhnya. Yang mengendalikannya adalah guru. Jika guru dapat merancang segala-galanya dengan baik, maka segala kelemahan akan dapat diatasi.

  1. 9.      KESIMPULAN

Teknik pengajaran dan pembelajaran bagi seorang guru bukan sekadar chalk and talk tapi lebih dari itu, seperti penggunaan alat bantu mengajar (ABM) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan alat bantu mengajar (ABM) perlu dipelbagaikan dengan kaedah dan teknik mengajar agar pengajaran dijalankan dengan berkesan, menarik perhatian, menjimatkan masa dan tenaga serta menghasilkan pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya penggunaan alat bantu mengajar (ABM) kepada guru-guru dalam menyampaikan pelajaran kepada pelajar-pelajarnya. Seseorang guru harus mahir mengenal pasti, membuat keputusan untuk memilih alat bantu mengajar (ABM) yang berkesan dan mengoptimumkan sumber untuk mencapai objektif pengajaran yang dirancang ketika dalam pengaplikasiannya. Ini kerana penggunaan alat bantu mengajar (ABM) amat penting kepada guru bagi membantu mereka menyampaikan pelajaran dan memastikan pelajar dapat menguasai ilmu yang disampaikan.

Dalam pendidikan banyak inovasi diperkenalkan bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran guru. Alat bantu mengajar (ABM) memudahkan para guru memindahkan ilmu pengetahuan kepada pelajarnya. Ia juga membantu interaksi sosial antara guru dan pelajarnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru sepatutnya dapat menggunakan sebarang bahan yang ada dan sesuai dalam proses interaksinya dengan pelajar-pelajarnya.

Kualiti sesuatu pelajaran yang memusatkan pelajar amat bergantung pada keberkesanan guru memilih dan menggunakan alat bantu mengajar (ABM) yang sesuai. Di sekolah, pusat sumber sekolah merupakan tempat yang boleh menjadi rujukan kepada guru-guru dalam mendapatkan sumber pengajaran. Walau bagaimanapun, sesebuah sekolah yang mempunyai pusat sumber yang dilengkapi lat bantu mengajar (ABM) tidak dapat membantu pelajar dalam pembelajarannya jika gurunya tidak menggunakan bahan itu dalam pengajarannya. Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk menggunakannya dengan sebaik mungkin bagi membantu kefahaman pelajar-pelajarnya tentang konsep dan ilmu pelajaran yang hendak disampaikan.

  1. 10.  BIBLIOGRAFI.
  • Ahmad Mohd Salleh, (2008), Pengajian Agama Islam & J-QAF Metodologi dan

Pedagogi Pendidikan, Selangor Darul Ehsan, Oxford Fajar Sdn Bhd.

  • Abdul Ghani Bujang, (1986), Pengajaran Prinsip dan Amalan, Dewan Bahasa dan

Pustaka Brunei, Brunei,

  • Mok Soon Sang, (1994), Asas Pedagogi Dalam Pengajaran-Pembelajaran, Kuala

Lumpur Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

  • Mok Soon Sang, (2003), Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 2,

Selangor Darul Ehsan, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

  • Mok Soon Sang, (2002), Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3,

Selangor Darul Ehsan, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

  • Rosini Abu & Ramlah Hamzah, (1998), Pedagogi 1 Kurikulum & Pengurusan Bilik

Darjah, Selangor Darul Ehsan, Longman Malaysia Sdn Bhd.


[1] Ahmad Mohd Salleh, Pengajian Agama Islam & J-QAF Metodologi & Pedagogi Pendidikan, Oxford Fajar Sdn Bhd, Selangor, 2008, ms 254.

[2] Ibid ms 254.

[3] Ibid, ms 254

[4] Mok Soon Sang, Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3,Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Selangor, 2002, ms 336.

[5] Ahmad Mohd Salleh, Pengajian Agama Islam & J-QAF Metodologi & Pedagogi Pendidikan, Oxford Fajar Sdn Bhd, Selangor, 2008, ms 255

[6] Abdul Ghani Bujang, Pengajaran Prinsip dan Amalan, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Brunei, 1986, ms 297

[7] Mok Soon Sang, Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3,Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Selangor, 2002, ms

[8] Mok Soon Sang, Asas Pedagogi Dalam Pengajaran-Pembelajaran, Kumpulan Budiman Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1994, ms 180

MELAYU ISLAM BERAJA (MIB) MENJADI PENENTU CALAK BRUNEI

 

 

PENDAHULUAN.

Syukur dengan izin Allah S.W.T. jua Brunei Darussalam menjadi satu negara yang aman makmur dan damai semenjak pemerintahan yang berdaulat daripada Sultan-sultan yang terdahulu lagi. Dari pemerintahan Sultan yang pertama iaitu Sultan Muhammad Shah sehinggalah pada masa ini pemerintahan Sultan Hj Hassanal Bolkiah, Brunei terkenal dengan pegangan Islam yang sangat kuat.

Negara Brunei Darussalam sangat terkenal dangan kekuatan falsafah negara oleh seluruh dunia, berlandaskan falsafah negara iaitu konsep MIB “Melayu Islam Beraja”. Kemakmuran rakyat, serta kesejahteraan seluruh pendudukannya sangat menjamin perpaduan dan keamanan dengan pimpinan di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izaddin Waddaulah. Dengan konsep Melayu Islam Beraja ini jua Negara Brunei dapat membangun dengan masyarakat yang sihat dengan membekalkan keIslaman yang murni.

Walaupun terdapat beberapa puak dan juga rakyat yang bukan beragama Islam, namun atas kesetiaan mereka pada Sultan dan Negara, ianya tetap mendapat kesepaduan. Ini semua atas di bawah kebijaksanaan pemerintahan Sultan yang mentadbir. Dan ini juga berkat falsafah Melayu Islam Beraja itu sendiri yang membentuk dan sebagai penentu calak keBruneian.

‘Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah Kurnia Allah Subhanahu Wata’ala, akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran Ugama Islam.’ Menurut Ahli Sunnah Waljamaah……”

Petikan titah Pemashuran kemerdekaaan Negara Brunei Darussalam

 

Mungkin ada diantara kita masih mengingati peristiwa kemerdekaan yang mana dari titik itu penegakkan Melayu Islam Beraja bermula. Semasa giliran Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien untuk memberi titah, kesunyian yang begitu kuat meliputi taman. “ALLAH HU AKBAR!!!” laung Baginda. Semua orang yang hadir menyahut sahutan Baginda “ALLAH HU AKBAR!!!” serta mengangkat tangan ke udara. Tiga kali sahutan tersebut, tiga kali laungan “ALLAH HU AKBAR!!” seperti guruh yang turun di langit menggegar bumi Brunei. Ada yang penuh bersemangat menitis air mata ketika bersuara, ‘Brunei sudah merdeka’, dan sekarang Negara Brunei Darussalam wujud mencabar dunia akan kemerdekaannya.

 

Bagi kita di Brunei Darussalam sesungguhnya kita sangat beruntung menjadi bangsa merdeka di tanah air yang berdaulat ini. Kerana itu kita mencapai dan memasyhurkan kemerdekaan dengan penuh insaf bahawa ianya suatu kurnia, suatu anugerah daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Mengenang dan menginsafi hal tersebut itu maka  kemerdekaan Brunei pada ketika itu telah disambut dengan doa dan kesyukuran secara perhimpunan di seluruh masjid. Pemasyhurannya diawali dengan nama Allah, pujian-pujian kepada Allah dan selawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dan disusuli dengan laungan tiga kali takbir(الله أكبر). Semua itu adalah khas dan istimewa bagi Brunei dan seluruh rakyatnya sahaja. Tidak pernah dibuat sebelumnya oleh bangsa lain dan negara lain sewaktu mereka memasyhurkan kemerdekaan.[1]

Laungan bergema tiga kali takbir itu bukan juga saja-saja dilakukan. Bukan kerana semata-mata dorongan semangat patriotik. Tidak kerana sebarang pengaruh dan tujuan politik yang memperalatkan ugama. Tetapi kita telah bercontoh kepada sunnah junjungan kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam yang mana apabila melakukan suatu perkara besar dan penting, dan untuk mengatasi kesukaran-kesukaran, baginda akan bertakbir tiga kali mengagungkan kebesaran, kemuliaan dan kekuasaan Allah. Kita mengambil tabarruk dari sunnah Rasulullah itu dengan meyakini bahawa daripada Allah kita mencapai kemuliaan dan kebesaran serta kekuasaan berbangsa dan bernegara yang merdeka.[2]

Oleh itu kemerdekaan yang dicapai bukan sebarang merdeka. Ia dimasyhurkan dan disambut atas nama Allah dan dengan takbir mengagungkan kebesaran serta kekuasaan Allah. Maka peliharalah ia, pertahankanlah ia serta jayakanlah ia dengan semangat perjuangan yang benar, perjuangan mengisi dan memenuhi aspirasinya seperti yang termaktub dalam pemasyhurannya. Kita pelihara, kita pertahankan, kita jayakan dan kita tepati aspirasinya dengan sikap patriotik bangsa beriman dan bertaqwa memenangkan yang hak dan mengalahkan yang bathil.[3] Dan biarkan sejarah kemerdekaan kita dahulu menjadi sebahagian daripada calak orang Brunei yang mengagungkan Islam dalam mencapai sesuatu kemenangan.

DEFINISI MELAYU ISLAM BERAJA.

Dalam konteks ini Melayu Islam Beraja itu dijadikan asas untuk integrasi kebangsaan Brunei. Melayu Islam Beraja dijadikan sumber rujukan dan idea untuk pembentukkan calak bangsa Brunei, calak negara yang akan dibentuk dan dipertahankan haruslah mengikut lunas atau dasar Melayu Islam Beraja itu. Sebelum itu penyerapan dan pengertian Melayu Islam Beraja kepada semua lapisan masyarakat adalah perlu diambil kira bukan sahaja dalam lingkungan apparatus atau agency kerajaan malah kepada pihak swasta dan masyarakat umum.[4]

Secara ringkas falsafah Melayu Islam Beraja ini adalah sebagai konsep yang menegakkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam yang berlandaskan Al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. sebagai tunggak bagi semua kegiatan yang menyentuh kepentingan negara, bangsa, bahasa dan budaya Melayu serta keutamaan institusi beraja untuk sistem pemerintahan Negara Brunei Darussalam. Dalam menghayati falsafah Melayu Islam Beraja, negara ini telah melaksanakan beberapa program bagi menerapkan lagi semangat falsafah ke dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

 

Melayu Dalam Melayu Islam Beraja.

Istilah ‘Melayu’ dalam konsep Melayu Islam Beraja dapatlah ditakrifkan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah negara ‘Melayu’ yang mengamalkan nilai-nilai tradisi atau kebudayaan Melayu yang mempunyai unsur-unsur kebaikan dan menguntungkan. Manakala istilah Melayu Brunei itu pula bermaksud tujuh puak seperti dalam perlembagaan  Negeri Brunei 1959 iaitu Belait, Bisaya, Brunei, Dusun, Kedayaan, Murut dan Tutong. Dan termasuklah orang Melayu yang sudah berjanji setia (menjadi rakyat Sultan) di negara ini[5]

 

 

Islam Dalam Melayu Islam Beraja

Istilah ‘Islam’ pula adalah agama yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala yang telah menjadi teras pemerintahan Kesultanan Brunei sejak zaman-berzaman, dan ianya telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959 sebagai Ugama Rasmi Negara mengikut Mazhab Shafie Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Islam juga adalah satu-satunya cara hidup yang melengkapi demi kesejahteraan umat manusia di dunia dan di akhirat.

 

Beraja Dalam Melayu Islam Beraja

 

Sistem ‘Beraja’ adalah satu sistem tradisi Melayu yang sudah lama wujud sejak terdirinya Kerajaan Melayu Brunei. Masalah sama ada sistem ini bertentangan atau tidak dengan wadah kemerdekaan bukanlah persoalan pokok. Tidak semestinya sistem ‘Beraja’ ini ditolak kerana setengah orang benci dengan sistem tersebut, tidak semestinya apabila golongan monarki aristokrat ini dijadikan pemerintahan ia akan melakukan penekanan (eksploitasi) kepada kedaulatan rakyat, yang penting ialah penerimaan rakyat Brunei terhadap sistem tersebut dan kedudukan rakyat sama ada better off atau worse off. Jika jaminan hidup (security of life) tidak dapat dipenuhi maka apa pun sistemnya tetap sistem yang tidak berjaya kerana security of life adalah matlamat universal dalam sistem pemerintahan bernegara.[6]

Sultan di dalam Institusi Beraja memerintah dan menjadi ketua negara dan seterusnya menjadi ketua pentadbir bagi pentadbiran dan pengurusan negara dan kerajaan. Kuasa Sultan yang telah dinyatakan dibawah Perlembagaan adalah seperti berikut:

“… Kuasa memerintah yang tertinggi bagi Negara Brunei Darussalam adalah terletak di dalam tangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan …”

dimana kuasa yang diamanahkan di bawah Perlembagaan kepada Baginda ini ditumpukan bagi kebajikan, kesejahteraan serta keamanan rakyat dan penduduk. Ke arah itu, Baginda telah menekankan dan menggariskan ciri-ciri pentadbiran dan pengurusan jentera kerajaan.yang perlu dilaksanakan bagi memenuhi hasrat Baginda dan hasrat negara bagi sebuah negara yang aman makmur.

Sejarah bangsa dan negara telah menunjukan bahawa kita telah menjadi suatu bangsa yang berupaya untuk menghadapi dan mengharungi masa depan. Sistem pemerintahan beraja telah dapat membawa negara mencapai matlamat-matlamat dan sistem pemerintahan berdasarkannya telah dapat membawa kebajikan kepada masyarakat.

Kearah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Sambutan Jubli Perak Baginda Menaiki Takhta pada 5 Oktober 1992 telah bertitah antara lain:-

“… jika kita teliti dan perhatikan dengan jujur, membuktikan bahawa sistem pemerintahan yang kita amalkan selama ini yang telah berjalan sekian lama itu, adalah kukuh dan malahan berjaya membawa kebajikan kepada rakyat dan negara. Jadi dari bukti yang ringkas ini, adalah cukup untuk memberikan jaminan dan keyakinan bahawa “sistem pemerintahan beraja” yang telah kita warisi dan pelihara itu telah berhasil menciptakan kebahagian dan keunggulan untuk Negara Brunei Darussalam …”[7]

 

Hubungan di antara raja dan rakyat adalah berasaskan kepada tanggungjawab timbalbalik sebagaimana jua wawasan pemerintahan tradisi “raja hendaklah adil dan rakyat janganlah menderhaka” dan sama-sama menunaikan amanah Allah Subhanahu Wata’ala.

Secara amnya, kepentingan falsafah ini dapat dilihat daripada konteks dimana ianya membolehkan negara ini mengharungi dunia di era globalisasi dengan calak Brunei yang tersendiri dengan berteraskan kepada ajaran ugama Islam dan identiti bangsa Brunei.

 

SEJARAH PEMBENTUKAN MELAYU ISLAM BERAJA

Negara Brunei Darussalam telah melalui lima period ( zaman ) dalam menegakkan Melayu Islam Beraja sebagai falsafah negara iaitu:

Period pengasasan Melayu Islam Beraja ( 1363-1485).

Period Keemasan Melayu Islam Beraja ( 1485-1578).

Period ujian dan ketahanan Melayu Islam Beraja (1578-1959).

Period pemulihan Melayu Islam Beraja (1959-1983)

Period Penegakkan Melayu Islam Beraja ( bermula pada tahun 1984)[8]

Period Pengasasan Melayu Islam Beraja (1363-1485)

Awang Alak Betatar menegaskan mib  sebagai falsafah Negara Brunei Darussalam Sebaik-baik  sahaja baginda menjadai seorang Islam dan mengunakan gelaran sultan Muhammad. Pengislaman baginda secara mutlak menjadikannya sultan Brunei yang pertama mengetuai  rakyat melayu baginda untuk secara beransur-ansur menerapkan cara kehidaupan Islam.[9]

Period Keemasan Melayu Islam Beraja ( 1485-1578)

Period ini merupakan period Sultan Bolkiah menaikkan status Brunei Darussalam dari sebuah Negara merdeka yang kecil menjadi sebuah empayar yang digalati. Semasa pemerintahan baginda, wilayah-wilayah Brunei bertambah luas dalam tempoh 39 tahun. Di antara ciri yang menjadikan Sultan Bolkiah dihormati dan digeruni ialah kepakarannya dalam bidang ketenteraan, kesediaannya untuk bergaul dan berinteraksi dengan rakyat baginda, disamping mempunyai perwatakan dan nilai-nilai peribadi  yang jujur, Ikhlas dna mudah dihubungi . cirri –ciri inilah yang dinyatakan membolehkan baginda dengan mudah memperluaskan wilayah kekuasaan Brunei melalui penaklukan-penaklukan bersenjata ke atas negeri-negeri yang menunjukkan permusuhan atau melalui saluran-saluran diplomasi ke atas negeri –negeri sahabat.[10]

Period Ujian dan Ketahanan Melayu Islam Beraja (1578-1957)

Period ini di kenalpasti sebagai yang paling bercelaru di dalam sejarah Brunei dan dalam perkembangan MIB sebagai pegangan Negara. Ia dibahagikan kepada lima tahap. Setiap tahap mempunyai peristiwa-peristiwa yang berbentuk perpecahan. Lima tahap tersebut adalah:

Pendudukan Sepanyol Semasa Perang Kastila (1578)

Perebutan kuasa semasa Perang Saudara 12 tahun (1661-1673)

Penglibatan langsung keluarga Brooke (1839-1888)

Perlaksanaan Perjanjian Naungan 1888 yang berat sebelah (1888-1905)

Perlaksanaan Perjanjian Tambahan 1906 (1906-1959)[11]

Period Pemulihan Melayu Islam Beraja ( 1959-1983)

Penekanan rasmi oleh kerajaan British bahawa Brunei mesti mempertahankan Melayu Islam Beraja sebagai falsafah rasmi Negara. Kemuncak usaha yang telah dijalankan oleh Sultan Omar Ali Saifuddein III secara khususnya bersama rakyat yang taat. Sebelum tahun 1975, satu siri perbincangan dan muzakarah telah dilakukan di antara delegasi Brunei ( yang diketuai oleh sultan)   dengan kerajaan British ketika itu mengenai masa depan Brunei yang ditumpukan khusus bagi mengalngkaji perjanjian 1906. Apa yang sebenarnya dikehendaki oleh Brunei ialah satu perlembagaan bertulis yang bakal digunakan untuk menebus kembali kedaulatannya dan menentukan masa depannya. Secara praktisnya, Brunei berkehendak sebuah  kerajaan sendiri dalam negeri dan tidak memerlukan lagi taraf negeri naungan.

Akhirnya dalam tahun 1978 dan 1979 satu perjanjian baru, yang secara rasmi mengesahkan penamatan tanggungjawab kerajaan Brutish mengenai hal ehwal luar dan pertahanan Brunei Darusslam menjelang hujung tahu 1983 ditandatangani.[12]

Period Penegakan Melayu Islam Beraja (Bermula Tahun 1984).

Empat tahun setelah penandatangani Perjanjian 1979 dan persediaan untuk menerima tanggungjawab penuh sebagai sebuah negara merdeka dilaksanakan, Negara Brunei Darussalam kini Mekangkah ke arena antarabangsa pada 1 januari 1984 dengan membawa bersama satu identiti dan calak Keislaman melalui seruan suci “Allahu Akbar” (Allah Maha Besar). Sejurus selepas seruan suci tersebut, Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengistiharkan bahawa Falsafah Melayu Islam Beraja menjadi falsafah Negara Brunei Darussalam dan dengan falsafah ini akan menjadi penentu calak Brunei:[13]

“…..Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wataala,akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka,berdaulat dan demokratik,bersendikan kepada ajaran-ajaran ugama Islam menurut Ahlussunnah wal-Jemaah ….[14]

MELAYU ISLAM BERAJA MENJADI PENENTU CALAK BRUNEI.

Falsafah kenegaraan ialah idea mengenai cara berbangsa dan bernegara. Falsafah negara digali daripada calak hidup bangsa itu sendiri. Falsafah Melayu Islam Beraja tentu sahaja mengandungi idea yang mempengaruhi calak hidup Brunei. Tepat sekali ia digali untuk diambil menjadi falsafah kenegaraan kita

Kita sebenarnya mempunyai alasan untuk mengetengahkan Melayu Islam Beraja sebagai falsafah kenegaraan Brunei. Kita berbuat sedemikian dan akan terus berbuat sedemikian dalam proses pengukuhan kemerdekaan kita pada zaman yang penuh dengan cabaran.

Kita melihat Melayu Islam Beraja itu sebahagian daripada aspirasi nasional.kerana itu kita patut bersyukur apabila pada zaman kita ini Melayu Islam Beraja diketengahkan sebagai falsafah kenegaraan Brunei, iaitu dengan mengutarakan ketiga-tiga unsurnya. Dalam berbuat demikian kita patut bijak memilih pendekatan yang sesuai.

Suatu perkara yang asas mengenai Melayu Islam Beraja sebagai falsafah kenegaraan ialah ia hendaklah dilihat dan difahami serta dirasakan dengan sebenar-benarnya oleh semua lapisan masyarakat. Usaha untuk membudayakan Melayu Islam Beraja pada masa ini tentu sahaja bertujuan baik untuk Brunei keseluruhannya. Tinggal lagi cara pendekatannya yang digunakan akan menentukan keberkesanan usaha yang baik itu. Salah satu pendekatan yang diperkirakan sesuai ialah mengetengahkan Melayu Islam Beraja sebagai Falsfah dalam Rangkaian aspirasi nasional. [15]

Pencapaian semula kemerdekaan bagi Brunei bukanlah setakat menguasai semula dengan sepenuhnya kedaulatan politik. Yang lebih penting dan serentak dengan penguasaan politik ini ialah Brunei yang merdeka mestilah tidak kehilangan teras kenegaraannya yang turun temurun iaitu Brunei merupakan negara melayu yang kemudian telah dibentuk dengan mendapat calaknya daripada unsur dan pengaruh Islam lalu bekerjasama secara pemerintahan beraja oleh sultan-sultan Melayu yang beragama Islam[16] .

Konsep Melayu Islam Beraja diproklamirkan di negara ini dengan tujuan supaya ia akan kekal dan menjadi budaya hidup masyarakat Negara Brunei Darussalam. Walaupun pada pandangan awal nampaknya seolah-olah Melayu Islam  Beraja ini menekan satu kelompok masyarakat (melayu Islam) sahaja, tetapi masaalah perkauman tidak timbul kerana sememangnya negara ini milik orang Melayu Islam dengan unsur pemerintahan dan kebudayaan serta kegiatan hariannya berlandaskan Melayu Islam itu juga.[17]

Melayu Islam Beraja sebagai falsafah negara menjadi norma dalam kehidupan berbangsa dan bernegara dan menjadi asas perumusan dasar negara. Ia juga menjadi garis pandu dalam pembentukan peribadi, perwatakan identiti dan calak hidup kebruneian.[18] Falsafah Melayu Islam Beraja bukan idea, fikiran, fahaman, gambaran dan cita-cita yang cetek malah setiap unsur yang  bersepadu dalam falsafah negara iaitu keMelayuan, keIslaman dan keSultanan ialah unsur dinamik bagi kelangsungan hidup dan menghayati serta kekalnya Negara brunei Darussalam serta sama sekali tidak membantutkan perkembangan masa depan negara.[19]

Nilai sebagai komponen dalam pembentukan Calak Brunei.

Nilai merupakan suatu sifat atau matlamat dari kehidupan seseorang atau masyarakat di mana orang atau masyarakat tersebut mempunyai hasrat agar sifat atau matlamat ini seharusnya berlaku. Nilai ini merupakan asas dari identiti suatu rumpun bangsa yang mempunyai erti penting dalam upaya untuk mempertahankan maruah satu rumpun bangsa. Dan dengan nilai ini kita dapat membentuk calak suatu rumpun bangsa dan negara.

salah satu unsur penting dalam menentukan calak sesuatu bangsa adalah nilai yang diwarisi. Nilai warisan ini yang memberi corak kepada maruah masyarakat melayu. Jika nilai-nilai kehidupan tidak kukuh, maka identiti bangsa melayu mejadi luntur dan ditelan oleh nilai-nilai luar yang dapat merosakkan cara hidup bangsa itu sendiri.

Tata nilai orang melayu Brunei adalah berintikan Islam. Oleh kerana itu, tata nilai orang melayu adalah himpunan yang seimbang antara kesedaran mental, moral, estetika dan kerohanian, yang berintikan kesederan spiritual rasional, kerana tata nilai spiritual adalah landasan dari keperibadian dan calak orang  Melayu, maka calak hidup bangsa Melayu Brunei dibangun atas suatu sistem iman. Dengan  perkataan lain nilai Islam yang berasaskan iman dan takwa itu telah menjadi darah daging bangsa Melayu Brunei, dan nilai Islam telah menjadi nilai utama dalam komponen nilai Melayu Islam Beraja.

Disamping nilai-nilai Islam itu, terdapat nilai-nilai lain sebagai nilai tambahan yang telah wujud sekian lama dalam tamadun Islam Melayu, iaitu nilai-nilai yang berbentuk adat dan tradisi. Adat dan tradisi ini boleh ditafsirkan sebagai alat bantu dalam hubungan mesra antara individu dalam masyarakat. Kerana calak suatu bangsa tidak terlepas dari nilai-nilai yang telah hidup dalam masyarakat suatu kaum. Maka nilai Islam yang menjadi inti nilai-nilai Melayu Brunei merupakan asas calak identiti bangsa Melayu Brunei. Nilai-nilai ini pulalah yang telah menjadi penggerak yang paling kuat dalam menghadapi cabaran perosak dari masa kesemasa.[20]

Nilai-nilai orang Melayu dapat dibahagikan dalam dua kumpulan:-

Nilai Utama :

beberapa nilai utama dalam bangsa Melayu Brunei yang berlandaskan nilai-nilai Islam adalah seperti bersifat amanah, tanggungjawab, ikhlas, inisiatif, dan dedikasi, sederhana, tekun, jujur dan bersih, berdisiplin, tolong menolong, berbudi mulia, sabar dan bersyukur, rendah diri, pemurah, nilai kebenaran,perpaduan dan nilai hati-hati

Nilai Tambahan :

Nilai Penting lainnya adalah nilai-nilai tambahan yang berhubung dengan adat dan sopan santun, iaitu: 1) Nilai awar galat, 2) Nilai menuakan yang tua, 3) Nilai menghormati ibu bapa, 4) Nilai mentaati raja, 5) Nilai menjunjung adat dan 6) Nilai-nilai lain yang melekat pada identiti kebruneian.

Beberapa perkara lain juga telah melakat pada calak identiti bangsa Melayu Brunei seperti majlis tahlil, cara berdikir, cara menyambut keputeraan Nabi Muhammad S.A.W, cara berkahwin dan cara berkhatan. Upacara-upacara tersebut merupakan tradisi lama yang mempunyai unsur-unsur keislaman dan adat dan telah membuat kemesraan sesama Melayu dan telah digunakan sebagai iklan dan mengenal kemesraan bermasyarakat  dari orang-orang Melayu Brunei.[21]

Nilai Utama dalam Melayu Islam Beraja.

Konsep Melayu Islam Beraja mempunyai cara yang tertentu bagi menentukan calak orang Brunei, iaitu berlandaskan nilai-nilai Islam seperti Nilai Akhlak (amanah, tanggungjawab, ikhlas, inisiatif, dan dedikasi, sederhana, tekun, jujur dan bersih, berdisiplin, tolong menolong, berbudi mulia, sabar dan bersyukur, rendah diri, pemurah, nilai kebenaran, perpaduan dan nilai hati-hati )

Akhlak dalam Melayu Islam Beraja adalah merupakan salah satu penentu calak  Brunei. Kerana ianya perkara penting dalam pembentukkan keperibadian seseorang. Jadi untuk membangun bangsa dan negara maka akhlak patut diutamakan lebih-lebih lagi dalam sesebuah negara yang berfalsafahkan Melayu Islam Beraja. Kebaikan atau keburukan akhlak seseorang Islam akan menentukan corak hidupnya dan nilai dirinya dalam pandangan dan hukum agama sama di dunia atau di akhirat. Akhlak bagi umat menjadi tonggak asasi pembentukkan umat, tanpa akhlak tidak ada kehidupan yang baik’[22]

“ Ahklak itu sama dengan cara hidup zahir dan batin. Sebab itu ianya perlu diutamakan. Bukanlah akhlak itu dalam majlis adat istiadat saja, bukan di dalam masjid saja, bukan di dalam pejabat saja, tetapi di mana-mana jua, di rumah-rumah, di pasar-pasar dan temapt-tempat permainan. Semuanya itu, kita orang-orang melayu dan orang Islam, adalah dikehendaki supaya beradab dan berakhlak dengan Melayu Islam. Ini tidak, sesetengah orang kita, hanya di masjid dan di majlis-majlis beristiadat saja mereka berakhlak, sementara di tempat-tempat lain, lebih-lebih lagi di tempat-tempat permainan, mereka tidak memakai ahklak Melayu dan akhlak Islam, mereka seolah-olah lupa tuhan dan lupa Islam. Inilah suatu tragedi bangsa yang mesti diatasi.[23]   

 

Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wataala. Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei:

“Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap, maka lenyap pulalah bangsa itu.”[24]

 

Dalam kehidupan manusia, akhlak itu diumpamakan seperti bunga dalam sebuah taman. Bagaimanapun luas dan indahnya sebuah taman, tetapi kalau tidak dihiasi dengan bunga-bungaan, maka taman itu tidak jauh berbeza seperti tanah perkuburan. Sebagai contoh; seorang yang mempunyai badan yang sihat, perawatakan yang gagah, tampan, menarik, berilmu, kaya atau berpangkat, tetapi jika dia mempunyai akhlak yang tercela dan perangai yang jahat, tidak ubahnya seperti muka yang cantik rupanya, tetapi di pipinya terguris memanjang tanda bekas luka. Kesan itulah yang menjatuhkan nilai-nilai yang asli. Di Negara Brunei Darussalam nilai-nilai utama Melayu Islam Beraja ini telah diterap kepada masyarakat terutamanya dalam institusi pentadbiran Negara.

Etika dan Budaya

Jika kita tinjau kembali nilai akhlak ianya mempunyai hubungan dengan nilai etika dan budaya suatu bangsa, Etika bermaksud tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Ada pun nilai dan etika perkhidmatan awam secara ringkas terkandung dalam institusi utama masyarakat yakni agama, pendidikan, keluarga dan persekitaran masyarakat yang merupakan asas rasional bagi pekhidmatan awam yang berkesan. Perkataan etika dalam perkhidmatan awam selalu dikaitkan dengan ‘nilai’ dan definisi nilai pernah juga ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau sesebuah institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai utama.[25]

Budaya pula merangkumi hal-ehwal kehidupan yang terkandung di dalamnya perkara berikut:

  1. Sosial               : Tatahubungan manusia dengan manusia.
  2. Ekonomi          : Tatahubungan manusia dengan benda.
  3. Politik              : Tatahubungan manusia dengan kekuasaan
  4. Pengetahuan & Teknik : Tatahubungan manusia dengan alam kerja
  5. Seni                 : Tatahubungan manusia dengan bentuk-bentuk yang menyenangkan.
  6. Falsafah           : Tatahubungan manusia dengan kebenaran nilai.
  7. Agama             : Tatahubungan manusia dengan Tuhan.

Kebudayaan ialah cara berfikir dan cara merasa yang menyatakan diri dalam seluruh kehidupan sekumpulan manusia yang membentuk masyarakat. Definisi ini dapat diperpendekkan dengan cara berfikir dan cara merasa dalam kehidupan, selanjutnya masih boleh disarikan menjadi cara hidup. Cara hidup itu sebenarnya ialah kebudayaan. Cara hidup itu mungkin bolehlah diertikan sebagai mengandungi maksud:

  1. Aturan (sistem, jalan) hidup.
  2. Ragam hidup.
  3. Adat resam dalam hidup
  4. Keadaan (aturan) yang lazim dilakukan dan kebiasaan dalam hidup.

Menyentuh perkara di atas, orang tua-tua kita berkata “hidup dikandung adat, mati dikandung tanah”. Adat hidup menurut budaya, nilai hidup diukur daripada amal dan kerja. Allah menguji manusia, siapakah yang cemerlang dalam kerjanya, dan siapakah yang beruntung di dunia dan di akhirat, dan siapakah yang berbahagia?.[26] Perkara di atas terkandung kesemuanya dalam budaya Melayu Islam Beraja dan secara langsung ianya akan membentuk mayarakat kitani menjadikannya sebagai calak orang Brunei.

Bahasa Melayu sebagai komponen dalam pembentukan Calak Brunei.

Salah satu komponen lain dalam menentukan calak sesuatu bangsa adalah bahasa. Bahasa adalah jiwa bangsa. Dalam hubungan ini, Negara Brunei Darussalam sudah pula menetapkan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi Negara Brunei Darussalam.[27] Ini bermakna bahasa Melayu itu bukan sahaja dijadikan alat pertuturan, malah juga sebagai alat perpaduan dan identiti bangsa.

Melalui bahasa kita dapat mengenal budaya dan mengenal calak suatu bangsa tersebut.. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang penuh dengan adab sopannya. Jika ditinjau dari bahasa melayu di rantau ini ada mempunyai perbezaan terutama dari segi loghat percakapan. Percakapan orang Melayu Brunei lebih halus dan mementingkan perasaan orang yang dibawa berbicara dan mengandungi unsur-unsur hormat. Sikap sopan santun sebagai contoh, perkara ini ringkasnya terpancar dalam percakapan dan keolahan. Dan timbullah kata-kata ‘usul menunjukan asal’, sopan santun orang Brunei mengandungi unsur kehalusan budi yang bertatatertib dalam percakapan, umpamanya:

  1. Mengunakan ganti nama yang sesuai.
  2. Tidak mengangkat suara sehingga melebihi ketua
  3. Kanak-kanak tidak digalakan mencampuri percakapan orang tua-tua.
  4. Percakapan itu dialas oleh tamsil ibarat bagi menyatakan maksud.
  5. Merendah diri dan tidak mengada-ngada, memperkecilkan kebolehan diri dan kedudukan diri sebenar.[28]

Sikap yang diterapkan dalam Melayu Islam Beraja sebagai penentu Calak Brunei.

Melayu Islam Beraja hendaklah ditekankan dalam mengharungi kehidupan demi kepentingan Melayu Islam Beraja itu sendiri. Melayu Islam Beraja hendaklah diutamakan dalam menentukan sikap, dalam meraih kemanfaatan dan keuntungan . Melayu Islam Beraja janganlah dikebelakangkan. Ertinya dalam setiap pemikiran, perundingan, setiap keputusan yang dibuat, setiap tindakan yang diambil hendaklah diutamakan kehendak dan kepentingan Brunei yang mendukung, memelihara dan mempertahankan konsep Melayu Islam Beraja. Umpamanya, hendaklah disoal diri sendiri:

  1. Adakah sikap ini merugikan Brunei
  2. Adakah sikap ini bertentangan dengan budaya Melayu Brunei.
  3. Adakah sikap ini bertentangan dan di luar ajaran Islam.
  4. Adakah sikap ini menurut ajaran Islam
  5. Adakah sikap ini bertentangan dengan sistem beraja
  6. Adakah sikap ini sesuai dengan konsep Melayu Islam beraja dan menguntungkan Brunei.

Maka sikap kita hendaklah sentiasa bersikap tidak bertentangan dan tidak merugikan Melayu Islam Beraja, bahkan hendaklah sentiasa bersedia dan mengutamakan Melayu Islam Beraja.[29] Jika kita tanamkan Falsafah Melayu Islam Beraja dalam jiwa dan sikap kita, yakni bagi menegakkan kembali Falsafah Melayu Islam Beraja, tidaklah perlu mengikut rentak dan gendang perbuatan kuasa negara atau kuasa dunia lainnya. Kita dengan calak kita. Calak kita ialah calak Melayu Islam Beraja. Dan jadikan ia sebagai darah daging kita dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari.

Unsur Kehidupan Melayu Islam Beraja dalam menentukan Calak Brunei.

Melayu Islam Beraja adalah sebagai unsur kehidupan. Salah satu unsur kehidupan ialah asuhan, pelajaran dan pendidikan. Maka Melayu Islam Beraja hendaklah menjadi teras dasar pendidikan negara kerana ia akan menentukan calak generasi akan datang, generasi itulah yang menjadi pemyambung kelanjutan hidup orang Brunei,  merekalah yang akan meneruskan perjuangan kearah kecemerlangan Brunei Darussalam pada masa akan datang.

Dasar sedemikian mustahak disusun dengan teratur dan kefahamannya hendaklah jelas di kalangan tenaga pelaksana supaya natijahnya akan dapat dinikmati menurut acuannya. Bagi menghadapi masa depan yang penuh dengan cabaran dan ancaman kita memerlukan landasan yang kukuh. Usaha hendaklah dibuat bagi mengukuhkan cara hidup dan menjiwai unsur kehidupan dengan landasan Melayu Islam Beraja.[30]

Islam sebagai Pengukuhan Melayu Islam Beraja dalam menentukan Calak Brunei.

Islam ialah agama yang diredhai oleh Allah S.W.T. Agama yang memimpin manusia kearah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Ianya merupakan sebesar besar nikmat Allah kepada umat Manusia[31], seperti firmanya dalam surah al Maidah ayat 3:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِيناً

Mafhumnya:

 Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu ni`mat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.

Ternyata ciri khusus Islam sesuai dengan fitrah manusia, sesuai untuk setiap masa, tempat, dan setiap golongan. Syariatnya bersifat syumul ini bermakna ajarannya  sempurna dan lengkap, menyeluruh dan mencakup semua aspek kehidupan manusia yang berhubung dengan hidupnya sebagai individu, berkeluarga, bermasyarakat, bernegara, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah S.W.T. Hubungan negara dengan negara dan negara dengaa dunia antarabangsa. Kesyumulan Islam ini amat jelas kerana ianya terdiri daripada iman atau akidah, ihsan atau akhlah atau dalam erti kata lain tasawuf dan syariah atau undang-undang. Setiap muslim hendaklah patuh dan taat kepada Islam sebagai Al-Din tanpa sebarang keraguan.[32]

Islam, Merupakan pengukuhan dalam konsep Melayu Islam Beraja kerana Islam itu sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna (Ad Din). Cara hidup dan pentadbiran yang mengikuti lunas Islam yang cekap, bersih dan amanah tetap akan menjamin perpaduan kebangsaan oleh kerana unsur toleransi dalam Islam tetap menjamin  keserasian hubungan dan menghormati pemeluk lain.[33]

Islam dalam konteks Melayu Islam Beraja merujuk bahawa Islam ialah agama rasmi negara. Pengakuan Islam sebagai agama rasmi negara bererti mengesahkan Islam sebagi sistem yang memandu kehidupan rakyat dan pemerintahan di negara ini. Hal ini memberikan implikasi sebagai berikut:

  1. Sultan ialah Ketua Agama Islam.
  2. Pemimpin, ketua dan pegawai utama yang membuat keputusan yang melibatkan muslihat orang Islam, mestilah terdiri daripada Ahlit Takwa kalangan orang Islam
  3. Kewajipan mentadbir menurut etika dan lunas Islam
  4. Kewajipan melaksanakan syariat Islam untik pemeluk Islam dan memberikan teladan tentang ketinggian Islam.
  5. Islam member jaminan terhadap kehidupan yang aman damai untuk masyarakat bukan Islam dalam Negara ini.
  6. Masyarakat bukan Islam dikehendaki mempelajari agama Islam bertujuan memahami dan menghormati Islam sebagai agama dan cara hidup di negara ini.
  7. Kewajipan taat kepada sultan sebagai Ulil Amri dan paying Allah di bumi brunei.

Islam sebagai petunjuk dan pegangan dalam semua landasan. Dengan Islam dijadikan sebagai acuan kehidupan kita rakyat Brunei, menjadi lengkaplah kehidupan kita sebagai calak rakyat Brunei yang hidup di bawah naungan falsafah Negara Melayu Islam Beraja.

“… kita adalah bersungguh-sungguh dalam mempraktikkan Islam sebagai cara hidup. Kita tingkatkan ibadat, dan sambil itu kita juga membangun,dan bahkan terus membangun dengan berlandaskan ajaran-ajaran Islam itu…”

Petikan titah Sempena Perasmian Pelancaran

Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB)

pada 21 Rabiul Awal 1412 bersamaan 29 September 1991.[34]

 

Ketaatan Kepada Raja  Dalam Konsep Melayu Islam Beraja Menjadi Sebahagian Dari Penentu Calak Brunei

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً ﴿٥٩﴾[35]

 

Mafhumnya:

Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah Al-Nissa: 59)

Negara Brunei Darussalam sudah mengamalkan sistem beraja ini semenjak kurun yang ke 14 lagi.Dan Raja atau Sultan yang di lantik ialah berdasarkan daripada keturunan sultan-sultan sebelumnya.Dan Di Brunei adalah menjadi syarat juga sultan yang memerintah mestilah berugama Islam. Selain dari itu dalam konteks Melayu Islam Beraja ini Raja atau Sultan bukanlah sebagai lambang negara ini sahaja,malahan raja adalah berkuasa penuh memerintah Negara ini mengikut lunas-lunas Islam berpandukan ahlussunah waljamaah dan mengambil berat hal ehwal  rakyat dan kemakmuran Negara ini serta mempunyai wawasan bagi menstabilkan dan mamajukan negara ini. Dan peranan Raja di Negara Brunei Darussalam juga adalah sebagai Ketua Ugama. Dan apa yang lebih penting raja kita bukanlah hanya sebagai simbol untuk menyerikan majlis Negara sahaja. Raja dalam konteks Melayu Islam Beraja ini ialah Raja yang berdaulat.

Mengikut YB POKLWDSS Haji Awang Abdul Aziz bin BPUKDSP Haji Awang Umar dalam kertas kerja seminar Melayu Islam Beraja

Dalam konteks Melayu Islam Beraja kedudukan Raja ialah;

  1. Raja adalah payung di atas bumi Brunei.
  2. Raja adalah ketua ugama Islam
  3. Raja Adalah kepala Negara.
  4. Raja adalah ketua Kerajaan.
  5. Raja adalah ketua Adat.
  6. Raja adalah ketua angkatan Bersenjata.[36]

Masyarakat Brunei tidak terlepas daripada nilai tradisi kebudayaan Melayu yang menganggap Raja sebagai tunggak negara yang perintahnya harus dipatuhi. Banyak pepatah telah dilahirkan berhubung dengan ketaatsetiaan kepada Raja ini. Umpamanya ‘siapa pun jadi Raja tangan kita ke dahi juga’, ‘kerja Raja dijunjung kerja sendiri dikelek’, ‘pantang Melayu menderhaka kepada Rajanya’ dan lain-lain. Ketaatsetiaan ini adalah satu amalan yang sudah berakar umbi sejak Kerajaan Kesultanan Melayu di Alam Melayu/Nusantara. Ketaatsetiaan ini merupakan satu ciri yang tidak pernah dipersoalkan  bagi bangsa Melayu sejak bangsa lahir.[37] Dan sebati dalam calak orang brunei.

Di Brunei konsep ketaatsetiaan kepada Raja itu telah wujud sejak berkurun-kurun lamanya. Raja bagi orang Brunei adalah teras dan tunggak negara, Raja menjadi lambang dan kuasa tertinggi bagi menjalankan pemerintahan yang berlandaskan Kanun, Syarak, Resam dan Adat Istiadat. Konsep ini juga lahir dengan kepercayaan penuh disertai dengan persatuan dan perpaduan rakyat dan penduduk bagi menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Raja (Sultan),iaitu satu penyerahan yang bersyarat ‘Raja tidak boleh zalim dan rakyat tidak boleh derhaka kepada Raja’ dan ‘Raja untuk rakyat dan rakyat untuk Raja’. Syarat timbal balik inilah yang memungkinkan wujudnya satu jiwa primodal loyalty yang selama ini belum lagi tercemar. Taat-setia kepada Raja/Sultan adalah satu unsur yang penting dalam kehidupan adat resam orang Brunei. Justeru itu setiap perintah Sultan sama ada dengan istilah ‘menjunjung titah perintah’ atau ‘dengan titah perkenan’ adalah dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat. Perakuan ini tidak menjadi soal dan tanda-tanya kerana dasarnya adalah ‘Raja tidak boleh zalim dan rakyat tidak boleh derhaka kepada Raja’.

Penyerahan kepimpinan negara kepada Sultan itu dapat dilihat pada masa istiadat ‘Perpuspaan’Raja-Raja Brunei:

(1)   Sudah dengan kehendak Allah, Tuanku menjadi Raja dalam Negara Brunei ini

(2)   Sudah dengan kehendak Allah, Tuanku menjadi junjungan kepada rakyat Negara Brunei ini.

(3)   Sudah dengan kehendak Allah, Tuanku menjadi pemimpin kepada rakyat Negara Brunei ini.

(4)   Sudah dengan kehendak Allah, Tuanku menjadi penaung kepada rakyat Negara Brunei ini.

(5)   Sudah dengan kehendak Allah, Tuanku menjadi turus tunggak Negara Brunei ini.

(6)   Sudah dengan kehendak Allah, Tuanku menjadi Yang Di-Pertuan bagi Negara Brunei ini.

(7)   Mudah-mudahan Kebawah Duli Tuanku kekal karal di atas singgahsana Kerajaan Brunei turun-temurun dan memerintah rakyat Negara Brunei Darussalam. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Walaupun ketaatsetiaan kepada Raja ini tidak dilembagakan secara bertulis namun kewujudannya sudah bermula sejak negara mempunyai Raja. Sungguhpun begitu pengikraran ketaatan kepada Raja dan negara dilakukan oleh mereka yang akan menjadi rakyat Duli Yang Maha Mulia. Iaitu melalui sumpah setia.

Ketaatsetiaan kepada Raja bukanlah hal tawar-menawar dalam masyarakat Brunei. Taat kepada Raja adalah salah satu Identiti dan calak orang Brunei. Masyarakat Brunei berpegang bahawa taat-setia kepada Raja itu ada hubungan dengan ajaran Islam, Mereka menganggap ‘Raja adalah Khalifah di Bumi’, ‘Raja mempunyai berkat daulat’.

Kesinambungan dari proses ketaatan kepada Raja/Sultan ini berkait dengan kecintaan kepada negara, seseorang (orang Brunei) tidak dianggap mencintai negara kalau tidak terlebih dahulu mengikrarkan dirinya taat kepada Raja/ Sultan. Kebiasaan hidup masyarakat Brunei tidak mengizinkan seseorang mengkhianati atau bugat (derhaka) kepada negara[38]

Dengan kata lain pepatah yang berbunyi ‘dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung’ merupakan keramat yang kekal dalam kehidupan masyarakat Melayu termasuklah negara ini. Proses dan kewujudan mentaati Raja dan negara adalah satu hal semulajadi dalam iklim politik masyarakat Melayu khususnya Melayu Brunei.

Bersyukur kita kepada Allah yang telah mengurniakan kita seorang Raja yang sangat bertanggungjawab yang memimpin Negara kita mengikut lunas-lunas dan syariat Islam, yang mana di larang kita sebagai rakyat menderhaka kepada Raja,selagi Raja yang memerintah itu adil dan saksama dan mengikut syariah Islam. Apabila Raja sudah Adil maka rakyat wajib taat. Kedua-duanya iaitu raja dan rakyat saling memerlukan di antara satu sama lain.

KESIMPULAN

Falsafah  Melayu Islam Beraja bagi Negara Brunei Darussalam adalah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan. Titik tolak kewujudan sistem tersebut adalah berakar-umbi daripada warisan pemerintahaan Raja-Raja Melayu Brunei. Pemimpin-pemimpin yang terdahulu telah membuat calak/acuan dan sistem ini bukanlah demi kepentingan mana-mana golongan atau kepentingan peribadi, malah yang jelas calak/acuan dan sistem tersebut merupakan tapak kukuh untuk kehidupan bangsa Melayu Brunei, Islam dan institusi kesultanan. Justeru asas inilah bangsa Melayu Brunei itu dapat survive sebagai sebuah negara dikalangan  masyarakat antarabangsa.[39]

Dengan berfalsafahkan konsep Melayu Islam Beraja ini, Negara kita telah Berjaya membuktikannya kepada dunia dengan keutuhan sistem politik beraja. Malah rakyat Brunei, walau dalam apa jua jenis puak sekalipun termasuklah puak iban, kaum cina dan keseluruhan warganegara Brunei mampu mengekalkan identiti kebruneian selaras dengan perkembangan dunia moden dalam era globalisasi masa kini. Kita juga sepatutnya merasa bangga kerana telah Berjaya mempertahankan dan mengekalkan institusi kesultanan, adat resam negara, budaya-budaya kebruneian yang telah diwarisi lebih dari 600 tahun yang lalu.

Kita juga sepatutnya sedar dan yakin bahawa segala warisan tradisi puak-puak Brunei yang telah diamalkan sejak beratus tahun yang lalu patut kita pertahankan walau apa sekali pun tohmahan dan kritikan masyarakat luar terhadap perlaksanaan dasar-dasar pemerintahan di negara ini. kita juga patut berbangga kerana dari aspek sosiobudaya dan politik, Brunei adalah pewaris bangsa Melayu Nusantara yang masih mengamalkan pemerintahan Kesultanan Melayu Islam.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ [40]

Mafhumnya:

 Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi. (al-A’raaf:96)

 

Kita patut bersyukur negara kita dilimpahkan rahmat dan nikmat ini adalah kerana berkat negara kita meninggikan agama Islam dalam pemerintahan dan kehidupan kita sehari-hari. Raja kita berusaha untuk merealisasikan negara kita sebagai negara Islam. Salah satunya menjadikan Negara Brunei sebagai Negara Zikir dan Negara Celik Al-Quran.

Akhirnya, marilah kita sama-sama mendukung konsep Melayu Islam Beraja kerana konsep ini akan membentuk kita menjadi insan yang sempurna. Segala nilai-nilai yang diterapkan dalam Melayu Islam Beraja sudah tentu menjadi calak orang Brunei. Segala unsur lain yang cuba melunturkan cara hidup kita sebagai Rakyat Melayu Islam Beraja hendaklah kita hindari dan kita kekang agar Konsep Melayu Islam Beraja ini akan kekal sebagai calak orang Brunei dan biarkan generasi akan datang dapat menikmati nilai-nilai dalam Melayu Islam Beraja dan kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus melimpahkan rahmat-Nya kepada Negara Brunei Darussalam dan segala manusia isi di dalamnya, supaya semua usaha-usaha berkebajikan yang kita laksanakan bagi kepentingan dan kemajuan negara ini akan dapat disempurnakan dan akan mendapat keredaan Allah jua

 

CADANGAN

 

Melayu Islam Beraja telah menjadi sebahagian dari penentu dan pembentuk kepada cara hidup kita seharian maka usaha-usaha hendaklah dibuat untuk meneruskan dan mengekalkannya dalam kehidupan kita seharian. Diantara cadangan dan saranan yang dapat diberikan ialah:

 

  • ·         Mengadakan kembali kempen-kempen yang dapat menerapkan nilai-nilai Melayu Islam Beraja kedalam jiwa dan kehidupan masyarakat kitani orang Brunei. seperti yang pernah negara kitani lakukan dahulu iaitu kempen Bersopan Santun yang mana ia dilancarkan Pada Bulan Mei 1990. Dan kempen ini bukan hanya dilakukan diperingkat kebangsaan tetapi di setiap Jabatan, Institusi, Sekolah dan Premis-Premis Perniagaan.

 

  • ·         Negara kita telah acap kali menyuruh mengamalkan perkara-perkara menjurus kepada negara Islam dalam memulakan pekerjaan, seperti memulakan kerja dengan membaca al-Quran, Berzikir, berdoa dan sebagainya. Maka tinggal saja lagi penekanan terhadap melakukannya. Disini pihak ketua yang seharusnya mengambil langkah-langkah perlu agar ianya dapat dilaksanakan dengan berjaya, seperti menjadikannya sebahagian daripada tugas yang harus dikerjakan dalam harian mereka.

 

  • ·         Memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti keIslaman di semua peringkat dari peringat kanak-kanak membawa kepada peringkat dewasa dan orang tua. Seperti mengada Perkhemahan Islam, dimana dalam program ini dilaksanakan didalamnya unsur keIslaman seperti menjadi imam, ceramah menghalusi segala amali dalam agama, Qiamul lail dan sebagainya.

 

  • ·         Media massa harus mencerminkan ciri-ciri Melayu Islam Beraja kerana ianya berfungsi sebagai pemberi maklumat kepada masyarakat. Dan penapisan perkara yang dianggap tidak sesuai harus dilakukan.

 

  • ·         Pusat sejarah, alat-alat kebesaran diraja dan muzium Brunei perlu mengembangkan fungsinya yang sedia ada. Seperti menjadikan pusat sejarah keperibadian bangsa Brunei dan sebagainya.

 

  • ·         Sistem pendidikan harus diperimbangkan dengan sosiobudaya dan ugama yang terdapat dalam Melayu Islam Beraja.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BIBLIOGRAFI

  • Al-Quran al-Karim.
  • _____________,(1994) Brunei di tengah-tengah nusantara, Kump. Kertas kerja seminar sejarah Brunei,Kementerian Kebudayaan Belia & Sukan, NBD, ,
  • Dr Ustaz Hj. Awg Md. Zain bin Hj. Serudin, (1998), Melayu Islam Beraja Suatu Pendekatan. Dewan Bahasa dan Pusataka Brunei Darussalam,
  • Haji Duraman Tuah, (2001)Membangun Negara Berdasarkan Falsafah Melayu Islam Beraja Brunei Darussalam, institut Perkhidmatan awam, Jabatan Perdana Menteri, Brunei Darussalam,
  • Haji Mohammad Nazir,(1989) Kertas Kerja Kursus intensif Konsep MIB, UBD, (Pelita Brunei, 13 Jun 1990) 16-21 Desember 1989.
  • ____________,(1991) Himpunan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sepanjang tahun 1990, Brunei Darussalam, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri,
  • _____________(2006)Kepimpinan Raja Memperkukuhkan  Asas dan Dasar  Islam, Pusat Dakwah Islamiah,
  • Khutbah Juma’at Sempena Ulangtahun ke 23 Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. jumaat (23-Feb-2007)
  • _____________(2010) Koleksi Melayu Islam Beraja, Jabatan Penerangan,Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam,.
  • Prof. Madya Dr. Awang Haji Hashim bin Hj Abd. Hamid, (2003),Jejak-jejak ( kumpulan kertas kerja Allahyarham Dato Paduka Seri Setia Prof. Dr. Hj. Awg. Mahmud Saedon bin Awg. Othman, UBD,
  • Titah-titah, Kumpulan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan & Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sepanjang Tahun 1992
  • Yahya M.S, (1998)menghayati Sastera Islam Abad Ke 21, Dewan Bahasa dan Pustaka,

[1] Khutbah Juma’at Sempena Ulangtahun ke 23 Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. jumaat (23-Feb-2007)

[2] Ibid

[3] Ibid

[4]Brunei di tengah-tengah nusantara, Kump. Kertas kerja seminar sejarah Brunei,Kementerian Kebudayaan Belia & Sukan, NBD, 1994, hal 224

[5] Ibid, hal 224

[6] Ibid, hal 224

[7] Titah-titah, Kumpulan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan & Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sepanjang Tahun 1992

[8] Haji Duraman Tuah, Membangun Negara Berdasarkan Falsafah Melayu Islam Beraja Brunei Darussalam, institut Perkhidmatan awam, Jabatan Perdana Menteri, Brunei Darussalam, (2001), Hal 1

[9] Ibid, Hal 1

[10] Ibid , hal 3

[11] Ibid, Hal 5

[12] Ibid , hal 18

[13] Ibid, hal 19

[14] Teks Pemasyhoran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam.(Koleksi Melayu Islam Beraja, Jabatan Penerangan, Negara Brunei Darussalam)

[15] Dr Ustaz Hj. Awg Md. Zain bin Hj. Serudin, Melayu Islam Beraja Suatu Pendekatan.Dewan Bahasa dan Pusataka Brunei Darussalam, 1998, hal 42

[16] Ibid, hal 42

[17] Ibid, hal 47

[18] Ibid, hal 48

[19]Ibid

[20]  Haji Mohammad Nazir, Kertas Kerja Kursus intensif Konsep MIB, UBD, 16-21 Desember 1989.

(Pelita Brunei, 13 Jun 1990)

[21] Ibid

[22] Yahya M.S, menghayati Sastera Islam Abad Ke 21,( Pelita Brunei, Keluaran Rabu, 4 Mac 1998)

[23] Himpunan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sepanjang tahun 1990, Brunei Darussalam, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, 1991, Hal 49.

[25] Ustaz Hj. Awg Md. Zain bin Hj. Serudin, Melayu Islam Beraja Suatu Pendekatan.Dewan Bahasa dan Pusataka Brunei Darussalam, 1998, hal 36

[26] Ibid, Hal 36.

[27] Yahya M.S, menghayati Sastera Islam Abad Ke 21,(Pelita Brunei, Keluaran Rabu, 4 Mac 1998.)

[28] Ustaz Hj. Awg Md. Zain bin Hj. Serudin, Melayu Islam Beraja Suatu Pendekatan.Dewan Bahasa dan Pusataka Brunei Darussalam, 1998, hal 37

[29] Ustaz Hj. Awg Md. Zain bin Hj. Serudin, Melayu Islam Beraja Suatu Pendekatan.Dewan Bahasa dan Pusataka Brunei Darussalam, 1998, hal 39

[30] Ibid,hal 39

[31] Prof. Madya Dr. Awang Haji Hashim bin Hj Abd. Hamid, Jejak-jejak ( kumpulan kertas kerja Allahyarham Dato Paduka Seri Setia Prof. Dr. Hj. Awg. Mahmud Saedon bin Awg. Othman, UBD, 2003, hal 29

[32] Ibid, hal 32.

[33] Ibid, hal 53

[34] Kepimpinan Raja Memperkukuhkan  Asas dan Dasar  Islam, Pusat Dakwah Islamiah, 2006, hal 9.

[35] Surah An-Nisa:59

[36] YB POKLWDSS Haji Awang Abdul Aziz bin BPUK DSP Haji Awang Umar. Melayu Islam Beraja.Kertas-kertas Kerja Seminar ‘Melayu Islam Beraja’.1993.

[37] Brunei di tengah-tengah nusantara, Kump. Kertas kerja seminar sejarah Brunei,Kementerian Kebudayaan Belia & Sukan, NBD, 1994, hal 225.

[38] Ibid, hal 226

[39] Ibid, hal 227

[40] Surah Al-A’raaf:96


Konsep Yang Sesuai Bagi Falsafah Pendidikan Dalam Masyarakat Islam

1. PENDAHULUAN

Pendidikan adalah satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan. Dalam menempuh alam teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana masyarakat pelajar adalah aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencoraki masa depan sesebuah negara pada zaman yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorakkan keunggulan masyarakat Islam sebagai agama sejagat.

Ramai tokoh telah berusaha untuk memberikan idea-idea dan konsep-konsep yang sesuai bagi golongan masyarakat global. Ini termasuk juga tokoh-tokoh Islam berusaha sama untuk mendalami pelbagai bidang keilmuan dan pendidikan semata-mata untuk kebaikan masyarakat dunia Islam. Hasilnya terdapat pelbagai konsep falsafah pendidikan bagi kepentingan suatu bangsa umat atau negara.

Satu persoalan yang ingin dikemukakan di sini, adakah apa yang kita rancangkan hari ini melalui pelbagai konsep pendidikan dapat melahirkan generasi rabbani pewaris anbiya’ dan ulama’ serta menjadikan masyarakat Islam yang berilmu? Ada bukti menunjukkan, masih timbul persoalan dan keraguan di sudut hati para penyelidik yang membuat kajian, pemerhatian, peka dan prihatin kepada perkembangan masyarakat Islam hari ini. Sebahagiannya masih mencetuskan, kenapa tahap pemikiran masyarakat Islam secara umumnya tidak maju?. Kenapa keterampilan, pemikiran, kewibawaan, daya intelek masyarakat Islam selalu dikatakan ketinggalan ke belakang jika dibandingkan dengan masyarakat di negara-negara barat umpamanya?. Mengapakah masyarakat ini meskipun disemai dengan benih-benih keimanan masih terjebak dengan gejala sosial?. Adakah sesuatu yang tidak kena dengan idea atau konsep falsafah pendidikan itu sendiri atau mungkin kekeliruan berlaku dari segi aplikasi?. Adakah mungkin kerana ini yang kita katakan kita memerlukan satu tajdid dan perubahan?

Justeru itu suatu yang amat wajar untuk kita meneliti kembali konsep falsafah pendidikan di peringkat awal. Jika generasi Islam yang mahu kita lahirkan adalah generasi serba boleh, berketerampilan, berwawasan , tinggi daya keintelektualan dan utuh imannya demi kepentingan masyarakat dunia Islam.

2. KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN

Banyak konsep-konsep telah diketengahkan oleh tokoh-tokoh pendidikan seluruh dunia. Mereka telah berusaha bersungguh-sungguh mengkaji dan membuat penyelidikan semata-mata untuk kebaikan. Konsep memberikan kita makna atau maksud pengertian am (pendapat yang terbentuk dalam fikiran) mengenai sesuatu, tanggapan, gagasan idea yang mendasari sesuatu. Falsafah menurut sejarah berasal dari perkataan bahasa Yunani iaitu philosophic. Philo bererti cinta atau kaji atau hargai dan sophic bererti hikmat atau kebajikan atau kebenaran. Jika digabungkan daripada kedua-dua perkataan philosophic disebut cinta kebenaran atau cinta hikmat.

Justeru itu perkataan falsafah dapat diertikan sebagai usaha mencari sesuatu kebenaran atau keyakinan yang berhubung dengan suatu perkara dengan menggunakan kekuatan akal fikiran. Dalam erti kata lain falsafah adalah mencari atau menganggap sesuatu dengan menggunakan kecerdasan akal fikiran dan kebijaksanaan.

Makna pendidikan dapat kita definisikan melalui pendapat daripada beberapa tokoh pendidik seperti pendapat John Dewey yang mendefinisikan pendidikan sebagai proses pertumbuhan dan perkembangan. Bagi James Mill mendefinisikan pendidikan adalah satu proses memberi pertolongan maksimum kepada setiap anggota satu-satu masyarakat supaya hidup penuh keselesaan serta kegembiraan. Manakala Prof. H. Home mendefinisikan pendidikan sebagai suatu proses abadi bagi menyesuaikan diri manusia yang bebas, insaf serta dewasa kejasmanian dan fikirannya dengan tuhan, sebagaimana yang ternyata dalam alam aqliah, perasaan dan kemahuan manusia.
Di samping tokoh barat terdapat juga golong Islam mendefinisikan makna pendidikan seperti Hassan Langgulung di mana dia berpendapat bahawa pendidikan sebagai satu bentuk interaksi manusia. Ia adalah suatu tindakan sosial yang dimungkinkan berlakunya melalui suatu jaringan hubungan kemanusiaan. Jaringan-jaringan ini bersama dengan hubungan dalam peranan individu di dalamnya yang membentuk watak pendidikan masyarakat. Dalam kitab Tazkirat as-Sami, Ibnu Jama’ah memandang pendidikan dari kaca mata falsafah. Menurut beliau, tujuan asas pendidikan ialah membina akhlak dan jiwa. Orang yang paling istimewa ialah orang yang berilmu dam mengamalkan ilmunya dengan betul, iaitu orang yang berpegang kepada prinsip bahawa mencari ilmu adalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Dari definisi-definisi di atas, dapatlah dirumuskan bahawa pendidikan merupakan suatu proses yang berterusan untuk membentuk manusia ke arah kehidupan bermakna di dunia dan akhirat. Oleh sebab antara fungsi pendidikan ialah penyampaian ilmu yang menyeluruh kepada manusia, maka ilmu yang diterima akan menentukan nilai dan keyakinan yang akan dianuti oleh seseorang sehingga membina keazamannya. Keazaman yang berdasarkan nilai-nilai pendidikan inilah yang akan menggerakkan seseorang untuk bertindak melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini selaku khalifah Allah di muka bumi.

Mengenai dengan pengertian falsafah pendidikan, Abd Fatah mentakrifkan sebagai suatu sistem kepercayaan, pegangan dan prinsip am yang mana membincangkan berbagai-bagai hal mengenai pendidikan dan pengajaran yang patut dijalankan disekolah. Di samping itu Al-Syaibani memberikan takrif falsafah pendidikan sebagai usaha bagi melaksanakan teori dan kaedah berhubung pengalaman manusia. Dan ia juga mampu menilai, menyelaras dan menganalisis masalah berhubung kehidupan.

Konsep Falsafah Pendidikan telah diketengahkan melalui pendapat tokoh-tokoh pendidikan di mana konsep falsafah pendidikan mempunyai fungsi-fungsi serta konsep seperti di bawah:-
1. Proses sosiolisasi:- pendidikan memberi murid peluang untuk berinteraksi antara satu sama lain supaya mereka menjadi dewasa yang berfungsi kelak.
2. Pembentukan budaya:- pendidikan mewujudkan serta memupuk nilai-nilai budaya.
3. Penempatan sosial:- pencapaian di sekolah dinilai berasaskan pencapaian akademik. Secara unggul, kejayaan akademik murid menjadi asas kepada kejayaan sosial pada masa depan. Secara umum, falsafah pendidikan adalah satu cara pemikiran yang analytical yang digunakan untuk menjelaskan konsep-konsep atau asas berhubung dengan pendidikan. Antara perkara-perkara yang menjadi tumpuan para pendidik termasuk seperti berikut:-
I. Apakah jenis-jenis pendidikan yang kita hasratkan untuk anak-anak kita?
II. Apakah tujuan pendidikan?
III. Apakah peranan pendidikan untuk kita dan masyarakat?
IV. Apakah yang wajar diajar di sekolah?
V. Apakah kaedah pengajaran yang sesuai?
VI. VI. Apakah peranan guru?
VII. Bagaimanakah kita boleh memahami anak murid kita dengan lebih berkesan?

Dari persoalan di atas dapatlah kita rumuskan konsep-konsep falsafah pendidikan yang sesuai untuk kita ketengahkan. Di mana bagi membentuk masyarakat Islam madani seharusnya falsafah itu selari dengan kehendak Islam. Dari itu jika diteliti falsafah pendidikan Islam adalah amat sesuai bagi masyarakat Islam keseluruhannya.

3. KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM SESUAI DALAM MASYARAKAT ISLAM

Sekalipun terdapat pelbagai falsafah pendidikan yang diketengahkan oleh tokoh-tokoh dahulu seperti tokoh falsafah umum mahupun tokoh-tokoh falsafah barat. Falsafah pendidikan Islam lebih bersifat holistik yang bermaksud bersifat saling berkait antara satu sama lain sebagai suatu sistem bersepadu yang menyeluruh, bukan sekadar menyentuh aspek-aspek tertentu sahaja tetapi ia merangkumi kesemua yang dikehendaki dalam sebuah matlamat pendidikan sama ada dari segi rohani jasmani dan intelektual.

Sehubungan itu, amat penting bagi kita menggubal satu falsafah dan epistemologi baru yang sesuai bagi generasi anak muda kita. Di samping itu, menjadikan pendidikan sebagai satu usaha untuk memupuk pemahaman bersifat global serta menyemai perasaan cintakan kemanusiaan dalam kalangan masyarakat Islam sejagat dan yang terpenting menjadikan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi sesuai dengan kehendak Islam.

Falsafah pendidikan Islam merupakan satu usaha untuk melahirkan individu yang soleh, warganegara yang beriman dan beramal soleh. Falsafah pendidikan Islam bertolak dari tasawur Islam secara menyeluruh, berpaksikan hakikat, ketuhanan, alam dan manusia. Di samping itu ia berdasarkan enam bidang pendidikan iaitu keimanan, akhlak, jasmani, pemikiran, kerohanian dan kemasyarakatan. Dari itu sebagai seorang pendidik Islam yang inginkan masyarakat Islam berjaya seharusnya menekan keenam-enam perkara tersebut dalam konsep falsafah pendidikan yang akan diketengahkan.

Di antara tokoh Islam yang mengetengahkan konsep-konsep falsafah pendidikan Islam ialah seperti Turki Rabib (1982), di mana ia menyatakan falsafah pendidikan Islam dibina berasaskan empat rukun, iaitu:-
a) Iman yang teguh kepada Allah dan Rasul, malaikat, syurga, neraka, dan hari kebangkitan.
b) Akhlak yang baik dan mulia.
c) Berilmu dalam erti menyeluruh.
d) Amal soleh di dunia dan di akhirat.

Jika kita huraikan dari pendapat Turki Rahib di atas, setiap pendidikan dalam Islam seharusnya mempunyai empat rukun di atas. Dengan diketengahkan keempat-empat rukun di dalam suatu sistem falsafah pendidikan akan dapat menghasilkan suatu pendidikan yang bersepadu. Kerana setiap sesuatu matlamat falsafah pendidikan adalah untuk menjadikan masyarakat yang berilmu, berakhlak, beramal dan berkebolehan serta berketerampilan. Ini adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud:- Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka Dengan sebab iman mereka Yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di Dalam syurga Yang penuh nikmat.  ( Al-Qur’an, Yunus 10:9)

Di samping Turki Rabib, Mohd. Kamal Hassan (1987) mengetengahkan Pendidikan Islam Juga menekan konsep-konsep berikut:-
a) Pendidikan seumur hidup.
b) Pembangunan seluruh potensi (roh, akal, dan jasad) secara padu mencakupi aspek kognitif, efektif, volitional (rela atau pasrah dengan hati yang ikhlas menerima segala atau memberikan sesuatu semata-mata kerana Allah)
c) Menyampaikan dua fungsi:
i) Sebagai hamba kepada Allah (‘ubudiyyah).
ii) Sebagai khalifah Allah.
d) Memakmurkan seluruh alam.
e) Kesepaduan dan kesempurnaan iman, ilmu dan amal soleh.
f) Kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Pendapat Mohd Kamal Hassan mengenai konsep-konsep Falsafah Pendidikan Islam lebih menyeluruh. Kerana ia menekan pelbagai aspek kehidupan serta pendekatannya yang menitikberatkan keseimbangan yang kukuh antara keperluan rohaniah, akal dan jasmaniah. Antara pembangunan duniawi dengan pembangunan ukhrawi, Falsafah Pendidikan Islam menganggap pembangunan akhlak individu yang selari dengan pandangan hidup Islam adalah teras pembangunan manusia.

Jika kita amati dengan teliti, bahawa pendapat tokoh falsafah pendidikan Islam ia mempunyai banyak persamaan dengan Falsafah Pendidikan Negara Brunei Darussalam. Yang mana Falsafah Negara “adalah usaha yang berterusan bersumberkan ilmu naqli dan ‘aqli ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang berilmu, beriman, beramal, berkepandaian, bertaqwa, amanah, bertanggungjawab serta berakhlak mulia. Segala usaha ini akan mewujudkan masyarakat berilmu dan berwawasan yang akan menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran keluarga, masyarakat, negara dan sejagat serta menimbulkan suatu identiti kebangsaan berdasarkan falsafah negara Melayu Islam Beraja menurut Ahli Sunnah Waljama‘ah sebagai tapak pertumbuhan dan pengukuhan ketaatan kepada agama, raja, dan Negara Brunei Darussalam”

Dalam Falsafah pendidikan Negara kita, ia mempunyai konsep-konsep yang amat sesuai bagi masyarakat Islam di negara kita. Bahkan ia juga sesuai jika di ambil dan diketengahkan ke dalam suatu masyarakat Islam di luar negara kita. Kerana Falsafah negara kita lebih menyeluruh dan berkesan untuk pembangunan ummah serta ketamadunan masyarakat Islam seluruhnya.

4. KONSEP-KONSEP YANG DIKETENGAHKAN DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

4.1. Pendidikan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Usaha Berterusan.

Sistem pendidikan adalah merupakan usaha berterusan dengan mengambil kira keperluan duniawi dan ukhrawi. Dengan lain perkataan, bukan duniawi semata-mata dan bukan juga ukhrawi semata-mata. Tetapi bagai mana caranya sistem pendidikan itu dilaksanakan. Serta meneruskan setiap usaha atau idea-idea yang dapat membangunkan sistem pendidikan Negara kita. Kerana pendidikan merupakan suatu yang berubah-berubah mengikut kesesuaian zaman dan masyarakat. Ini adalah untuk kebaikan masyarakat Islam di negara kita khususnya dan masyarakat Islam seluruh dunia amnya.

4.2. Bersumberkan Ilmu Naqli Dan ‘Aqli.

Dalam pendidikan Islam, dua sumber ilmu yang akan diperolehi oleh seseorang itu iaitu ilmu naqli dan ilmu ‘aqli. Ilmu naqli ialah ilmu yang datangnya dari al-Qur’an dan al-Hadits, manakala ilmu ‘aqli adalah semua pengetahuan yang dikaitkan dengan akal fikiran dan rasional. Walau bagaimanapun secara konsep umumnya semua ilmu adalah kepunyaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala baik naqli ataupun ‘aqli, kerana diri manusia itu sendiri adalah kepunyaan Allah, jadi segala apa jua yang dihasilkan menerusi akal fikirannya adalah juga kepunyaan Allah.

4.3. Ke Arah Memperkembangkan Potensi Individu Secara Menyeluruh.

Dengan memperolehi ilmu naqli dan ilmu ‘aqli atau ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardhu Kifâyah, maka akan mudahlah untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh, seimbang dan tidak pincang, sebaliknya mempunyai keperibadian yang luhur dipandang dari aspek rohani, akhlak dan moral, akal dan jasmani yang memahami dan meyakini bahawa manusia tidak boleh lari dari kehidupan duniawi dan ukhrawi. Sistem pendidikan kita Brunei Darussalam menyediakan tapak bagi kecemerlangan kehidupan duniawi dan ukhrawi itu.

4.4. Bagi Melahirkan Insan Yang Berilmu, Beriman, Beramal, Berkepandaian, Bertaqwa, Amanah, Bertanggungjawab Serta Berakhlak Mulia.

Matlamat dalam sistem pendidikan kita ialah bagi melahirkan insan dengan ciri-ciri yang disebutkan di atas iaitu:
a. Memiliki ilmu pengetahuan dalam agama Islam dan ilmu-ilmu pengetahuan .
b. Mempercayai akan rukun-rukun iman serta beramal dengannya.
c. Mengerjakan amal ibadat dan kebajikan untuk dirinya, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
d. Memiliki kepandaian atau kemahiran hasil daripada ilmu pengetahuan yang dipelajari.
e. Menjalani kehidupan dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sejati dengan mengerjakan segala suruhannya dan menjauhi segala larangannya.
f. Bersifat jujur, ikhlas, setia dan boleh dipercayai dalam segala peranan yang dilaksanakan.
g. Melaksanakan tugas dan peranan dengan sebaik-baiknya
h. Mempunyai keperibadian yang terpuji dan berbudi pekerti sebagai pelengkap peribadi

4.5. Masyarakat Berilmu Dan Berwawasan.

Masyarakat berilmu dan berwawasan adalah merupakan hasil daripada pendidikan yang berterusan dengan meningkatkan mutu pendidikan dari semasa ke semasa serta kesedaran yang
mendalam dan kecintaan kepada ilmu pengetahuan. Negara tidak akan maju tanpa ilmu. Islam adalah satu-satunya agama yang sangat menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Al-Qur’an sendiri mengangkat orang-orang atau masyarakat yang berilmu pengetahuan beberapa darjah perkara ini terdapat dalam firman Allah yang bermaksud:

11. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan. (Al-Quran, al-Mujaadilah 58:11)

4.6. Keamanan Dan Kemakmuran Keluarga, Masyarakat, Negara Dan Sejagat.

Dengan Insan yang berilmu, beriman, beramal, berkepandaian, bertaqwa, amanah dan bertanggungjawab serta berakhlak mulia pasti akan membentuk keluarga yang bahagia dan masyarakat harmoni dan akan mewujudkan keamanan dan kemakmuran keluarga, Masyarakat, negara dan sejagat. Di samping itu akan meningkatkan kestabilan negara dan ekonomi pula berkembang baik, hasilnya ini akan memberikan kehidupan yang sempurna di kalangan masyarakat Islam di negara kita ini.

4.7. Identiti Kebangsaan Berdasarkan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja Bersendikan Ajaran-Ajaran Agama Islam Menurut Ahli Sunnah Waljama‘ah.

Memiliki identiti kebangsaan bermaksud memiliki identiti kebruneian yang terkandung dalam falsafah negara Melayu Islam Beraja. sifat-sifat ini akan dilaksanakan bersendikan ajaran-ajaran Islam menurut ahli Sunah Waljamaah. kerana fahaman Ahli Sunnah Waljamaah yang menjadi teras di dalam falsafah pendidikan kita. Kerana dasar-dasar iktikad Ahli Sunnah Waljamaah bersifat sederhana yang diisi dari perjalanan dan amalan Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan perjalanan para sahabat baginda Radhiallahu ‘anhum lalu menjadi ikutan di dunia dari dahulu hingga sekarang. Dasar-dasar itu selaras dengan pertimbangan akal yang waras dan dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Hadits

4.8. Tapak Pertumbuhan Dan Pengukuhan Keta‘atan Pada Agama, Raja Dan Negara Brunei Darussalam.

Sebagai suatu proses yang berterusan, pendidikan diharapkan akan dapat mendidik semua warga Brunei daripada generasi muda hingga dewasa. Bagi warga muda, pendidikan adalah tapak kepada wujudnya ketaatan kepada agama, raja dan negara. Manakala bagi generasi dewasa, pendidikan dihasratkan akan mengukuhkan pula ketaatan dan kesetiaan berkenaan. Dengan lain perkataan, falsafah Melayu Islam Beraja yang mana Islam menjadi terasnya, menurut aliran Ahli Sunnah Waljamaah itu adalah menjadi asas yang kuat sebagai tapak pertubuhan dan menjana dengan subur dan kuatnya kehidupan beragama, berbangsa, beraja dan bernegara.

Bila kita renungkan dengan penuh penghayatan, Falsafah Pendidikan Negara Brunei Darussalam adalah suatu falsafah yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam di negara kita khususnya kerana ia mempunyai suatu unsur atau sistem kehidupan yang menyeluruh. Dalam Islam, pendidikan adalah sebahagian perkara penting dalam mengatur sistem kehidupan yang sempurna.

5. KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM AMAT BERSESUAIAN DENGAN KEHIDUPAN MASYARAKAT ISLAM.

Kesesuaian konsep Falsafah Pendidikan negara kita dalam masyarakat Islam adalah kerana berkonsepkan perkara berikut:
1. Penggunaan Al-Quran dan Hadis sebagai sumber utama.
2. Memerintah, mendorong, memandu serta membimbing masyarakat Islam khususnya dan masyarakat lain amnya menggunakan akal untuk berfikir, bertafakur, membuat penyelidikan, penelitian dan sebagainya.
3. Pembangunan seluruh potensi (roh, akal, dan jasad) secara padu mencakupi aspek kognitif, efektif, volitional (rela atau pasrah dengan hati yang ikhlas menerima segala atau memberikan sesuatu semata-mata kerana Allah)
4. Kesepaduan dalam melahirkan insan yang sempurna dalam segala aspek kehidupan.
5. Berkaitan dengan realiti masyarakat dalam hubungan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik seperti yang terdapat dalam Falsafah Melayu Islam Beraja.
6. Bersifat dinamik, berkembang, sesuai dengan perkembangan penyelidikan dan kajian-kajian dalam pendidikan melalui usaha yang berterusan.
7. Bebas daripada pertentangan dan percanggahan antara prinsip kehidupan dengan kepercayaan yang menjadi dasar pegangan masyarakat Islam.
8. Perkembangan yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan intelektual.

6. KESIMPULAN

Falsafah pendidikan digubal adalah untuk memberikan kesedaran bahawa masyarakat atau negara mesti mempunyai hala tuju dan matlamat. Sebab itu kesesuaian konsep-konsep dalam falsafah pendidikan seharusnya menekankan elemen-elemen yang menjurus kepada pembangunan masyarakat dan negara. Pelaksanaan satu-satu konsep hendaklah dimulakan dari akar umbinya kerana apabila ingin menjayakan sesuatu seharusnya bermula dari peringkat bawah. Tetapi timbul pula pertanyaan, kenapa sebuah konsep pendidikan yang begitu sempurna, tetapi tidak mampu melahirkan insan yang sempurna. Bagi saya apa yang menyebabkan ini berlaku adalah faktor pelaksanaannya. Kemungkinan ada pihak-pihak yang kurang mengambil perhatian dalam pelaksanaan satu-satu tujuan atau matlamat falsafah pendidikan tersebut. Kerana usaha ke arah itu memerlukan kesepaduan semua pihak yang terlibat. Apa pun jua falsafah pendidikan yang diketengahkan, jika dasar pelaksanaannya kurang diambil perhatian sewajarnya, maka tujuan yang ingin kita capai melalui falsafah pendidikan itu tidak akan kesampaian. Dari itu sama-samalah kita muhasabah diri kita dari semasa ke semasa untuk mencapai serta mengukuhkan cita-cita kita, masyarakat Islam dan negara kita.

7. CADANGAN

Untuk sentiasa meningkatkan pelbagai konsep falsafah pendidikan seharusnya ada perubahan-perubahan ke arah perkara itu. Di sini dikemukakan beberapa cadangan untuk kebaikan masyarakat Islam di negara kita khususnya dan masyarakat Islam amnya.
1. Keterlibatan keseluruhan masyarakat Islam dalam membangun ummah Islam yang madani.
2. Cetusan idea-idea atau pandangan yang menjurus ke arah kebaikan masyarakat Islam yang berhubung dengan pendidikan hendaklah diketengahkan dan dilaksanakan sekalipun cadangan itu daripada kelas orang bawahan.
3. Mempelbagaikan pendekatan-pendekatan ke arah memajukan sistem pendidikan demi melahirkan masyarakat Islam yang bersih dari segi rohani, jasmani dan intelektual .
4. Dilengkapi pendidikan negara dengan program-program pembangunan masyarakat.
5. Membangun pertubuhan dan institusi yang kuat dalam bidang keilmuan dan pendidikan bagi semua lapisan masyarakat Islam.
6. Memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti berbentuk pendidikan di semua peringkat dari peringat kanak-kanak membawa kepada peringkat dewasa dan orang tua.
7. Konsep falsafah Pendidikan seharusnya dinilai pada setiap waktu. Kerana konsep pendidikan tersebut sentiasa berubah mengikut keadaan dan zaman semasa.

8. BIBLIOGRAFI
– Al- Quran Al-Karim

Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman, 2003, Falsafah Pendidikan dan
Kurikulum, Tanjung Malim Perak, Malaysia, Quantum Books

– Abd.Rahman Aroff Zakaria Kasa, 1994, Falsafah Dan Konsep Pendidikan,
Kuala Lumpur, Fajar Bakti Sdn Bhd.

– Ahmad Mohd Salleh, 2008, Pengajian Agama Islam & J-QAF Metodologi dan
Pedagogi Pendidikan, Selangor Darul Ehsan, Oxford Fajar Sdn Bhd.

– Dr. Gamal Abduk Nasir Zakaria, 2003, Prinsip-Prinsip Pendidikan Islam,
Pahang Darul Makmur, PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd.

– Ee Ah Meng, 1995, Pendidikan Sebagai Suatu Proses Asas Pembelajaran 1,
Selangor Darul Ehsan, Fajar Bakti Sdn Bhd.

– ______________, 1989, Kamus Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa
& Pustaka, Kem. Pendidikan Malaysia.

– ______________, 2006, Pendidikan Dan Profesionalisme, Jabatan Perdana
Menteri, Negara Brunei Darussalam

http://www.scribd.com/doc/16737591/Konsep-falsafah-pendidikan
(di layari pada 29hb Januari 2011 )